KUALA LUMPUR - Laporan Kajian Semula Pasaran Sektor Makanan mendapati wujud penyalahgunaan Permit Kelulusan (AP) yang diberikan untuk mengimport kubis bulat, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Beliau berkata, melalui kajian yang dijalankan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) itu penyalahgunaan tersebut turut dikenal pasti sebagai punca yang menyumbang kenaikan harga sayur berkenaan.
"Justeru, suruhanjaya itu telah mengesyorkan pemantauan rapi terhadap proses selepas AP dikeluarkan bagi memastikan terdapat pilihan kepada pengguna dan harga yang kompetitif bagi kubis bulat di pasaran,” katanya pada sidang media selepas melancarkan laporan setebal 330 muka surat itu.
Selain kubis bulat dan sawi, kajian yang dijalankan selama sembilan bulan tersebut turut memberi fokus kepada makanan seperti daging, ikan kembung serta rumusan bayi.
Tambahnya, dapatan kajian melibatkan daging dan rumusan bayi menunjukkan kebergantungan yang tinggi terhadap import yang membentuk majoriti besar dalam pasaran.
"Daging yang diimport ke Malaysia kebanyakannya datang daripada dua negara sahaja iaitu Australia dan India. Kebergantungan melampau kepada hanya beberapa pembekal mendedahkan pasaran daging negara antaranya kepada kenaikan harga yang berterusan dan kekurangan pilihan.
"Bagi pasaran rumusan bayi pula, MyCC mencadangkan mewujudkan lebih banyak jenama dalaman dan menggalakkan lebih banyak pemain tempatan bagi meningkatkan daya saing pasaran,” katanya.
Sementara itu,Saifuddin Nasution berkata isu utama bagi sub-sektor ikan adalah kewujudan beberapa perantara di dalam rantaian bekalan, kewujudan ketidakcekapan pasaran di hab pengedaran utama dan kurang kesedaran akan alternatif kepada ikan kembung.
"Terdapat keperluan mendesak bagi mendidik pengguna secara aktif untuk menjadi pengguna yang berpandukan kepada rangsangan pasaran dan permintaan serta dasar E-Dagang yang inklusif serta bersepadu bagi menangani isu ini,” jelasnya.
Pasar Borong Kuala Lumpur juga telah diberi penekanan dalam kajian tersebut dan dapatan kajian menunjukkan wujud sewaan gerai secara haram, kebanjiran pekerja atau penjual warga asing dan yuran operasi tambahan, katanya.
Menurutnya, laporan hasil kajian itu akan dibentangkan kepada jemaah menteri dan beliau berharap pihak yang terlibat dapat merangka polisi yang lebih baik dalam menangani isu dan merealisasikan syor yang diberikan MyCC.
Turut hadir ke majlis pelancaran itu Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Chong Chieng Jen dan Ketua Pegawai Eksekutif MyCC Iskandar Ismail.- Bernama