MIRI - Pasukan Bomba dan Penyelamat terpaksa menggunakan kaedah bom air dalam usaha memadamkan kebakaran hutan tanah gambut di Kuala Baram yang telah seminggu berlarutan sejak Khamis lepas (1 Ogos).
Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Miri, Law Poh Kiong berkata, operasi memadam kebakaran itu menggunakan helikopter milik Unit Udara Bomba Miri bermula dengan kawasan kebakaran seluas 4.8 hektar yang berjaya dipadamkan setakat tengah hari ini.
Iklan
Iklan
"Operasi memadamkan kebakaran bermula 10 pagi di kawasan berhampiran asap tebal dan perumahan,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, namun begitu kawasan seluas 27.9 hektar masih lagi berasap manakala kawasan seluas 5.6 hektar masih mengalami kebakaran.
Poh Kiong berkata, 13 anggota bomba serta enam kru udara dan 11 orang kakitangan sebuah syarikat korporat turut serta dalam operasi mengawal dan memadamkan kebakaran hari ini.
Masalah kebakaran hutan dan tanah gambut adalah punca utama jerebu teruk melanda bandaraya Miri pada 2016 dan yang terbaharu pada Mac lepas.- Bernama
Artikel Berkaitan