Pemuda UMNO desak PH kembalikan skim bantuan tanaman

Iklan
(Gambar kecil, Najmil Faiz)

KUALA TERENGGANU - Pemuda UMNO mendesak kerajaan melaksanakan kembali skim bantuan tanaman semula kepada pekebun kecil dengan menyifatkan langkah kerajaan untuk tidak meneruskan skim tersebut sebagai tidak adil.

Exco Pemuda UMNO, Datuk Dr Najmil Faiz Mohamed Aris berkata, pengumuman yang dibuat Menteri Industri Utama, Teresa Kok itu juga dilihat agak mengejutkan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, langkah terbaharu oleh kerajaan itu turut dilihat semakin meminggirkan kebajikan golongan pekebun kecil.

"Harga sawit sebagai komoditi utama Malaysia semakin hari semakin susut dan tiada usaha kerajaan untuk menstabilkannya semula.

Iklan

"Pekebun kecil kini terpaksa membuat pinjaman kepada kerajaan untuk menanam semula melalui Skim Pinjaman Mudah Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit (TSPKS).

"Kini, bantuan tanaman semula pula dihapuskan. Nasib rakyat khasnya pekebun kecil dan penduduk luar bandar semakin hari semakin tidak terbela di bawah pemerintahan kerajaan PH (Pakatan Harapan) ini,” katanya.

Iklan

Jelas Dr Najmil, industri sawit telah dikenal pasti sebagai salah satu Bidang Utama Ekonomi Baharu (NKEA) dalam Program Transformasi Ekonomi yang boleh meningkatkan pendapatan negara menjelang tahun 2020.

Sehubungan itu katanya, pekebun kecil yang merupakan penduduk luar bandar wajar dibantu secara berterusan untuk meningkatkan sosioekonomi mereka.

"Semasa era kerajaan Barisan Nasional (BN) pada 2018, kerajaan telah memperuntukkan RM140 juta untuk pembangunan dan penanaman semua kelapa sawit dan RM200 juta untuk getah.

"Sektor pertanian adalah sumber ketiga pertumbuhan untuk ekonomi dan di bawah dasar kerajaan BN sebelum ini, industri sawit dijangka melonjak dari RM53 bilion pada 2009 ke RM178 bilion menjelang 2020,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Tiada lagi skim bantuan tanaman semula: Teresa Kok