DAP maafkan lelaki baling telur

Iklan
Kam Foo (kanan) bersalaman dengan individu yang dilaporkan membaling telur ke arah pusat komunitinya di Menglembu.

IPOH - DAP sedia memaafkan seorang lelaki yang telah melakukan perbuatan khianat dengan membaling telur ke arah Pusat Komuniti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Menglembu, kelmarin.

ADUN Menglembu, Chaw Kam Foon berkata, pihaknya tidak akan mengambil sebarang tindakan lanjut berhubung insiden itu malah telah menarik kembali laporan polis yang dibuat terhadapnya.

"Dia sudah dilepaskan dengan jaminan polis dan saya berkesempatan berbual sambil bertukar-tukar pandangan dengannya. Keadaan berlaku dalam keadaan harmoni.

Iklan
Iklan

"Dia sedar akan kesilapannya itu dan diharapkan tiada tindakan lanjut dikenakan terhadapnya kerana dia mempunyai dua anak perempuan.

"Sekiranya dia dikenakan tindakan, saya minta pak cik ini hubungi kami dan kita sudi beri bantuan sepenuhnya dalam perkara ini," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.

Iklan
Seorang lelaki dirakam mengeluarkan kata-kata kesat dan melempar telur ke arah Pusat Khidmat Adun Menglembu.

Menurutnya, DAP terbuka mendengar pandangan rakyat dan sedia untuk memberikan perkhidmatan terbaik.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby berkata, siasatan dibuka mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan iaitu perbuatan khianat.

Iklan

"Lelaki berkenaan telah ditahan dan dilepaskan dengan jaminan polis selepas diambil kenyataannya.

"Siasatan masih diteruskan walaupun laporan polis itu telah ditarik. Setakat ini, lelaki tersebut belum didakwa," katanya.

Terdahulu tular video di laman sosial berhubung kejadian tersebut yang turut memperlihatkan lelaki itu mengeluarkan kata-kata kesat ekoran tidak puas hati berhubung isu bantahan DAP terhadap tulisan jawi.

ARTIKEL BERKAITAN Tarik diri bantah khat: ADUN DAP enggan ulas lanjut