ALOR SETAR - Aset-aset sedia ada Polis Diraja Malaysia (PDRM) terutamanya di Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik perlu dinilai semula dalam usaha untuk membanteras gejala dadah yang bagaikan tidak berkesudahan di negara ini.
Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Kamal Affandi Hashim berkata, polis pada hari ini perlu dibekalkan peralatan dan teknologi terkini dalam menguruskan dan mengatasi semua jenayah termasuk masalah dadah.
Menurutnya, kenyataan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador yang melahirkan kewaspadaan mengenai penyalahgunaan dadah di negara ini apabila jumlah kes telah meningkat dua kali ganda perlu diberikan perhatian serius jika tidak dibendung Malaysia boleh jadi seperti Colombia.
"Kenyataan itu adalah satu peringatan atau amaran keras dikeluarkan oleh individu yang tahu selok-belok tentang dunia jenayah serta penyalahgunaan dadah dan kebimbangan pada hari ini sangat berasas.
"Dulu dadah dituai atau diproses tapi hari ini dikhuatiri dengan pembukaan makmal dadah baharu oleh kumpulan atau sindiket menyebabkan keadaan jadi huru-hara," katanya selepas Program Cakna Remaja Daerah Kota Setar 2019 di SMK Tunku Abdul Rahman dekat sini.
Kamal Affandi berkata, kerajaan perlu memberikan peruntukan tambahan untuk memperkasakan pasukan polis termasuk menyediakan latihan yang sesuai dengan keperluan semasa pada hari ini.
"Kalau kita tidak kawal maka (boleh) menjadi (seperti) Colombia, bergolak dan menggunakan duit hasil dari dadah untuk pengaruhi politik di negara ini.
"Tidak mustahil, jika kita tidak membendungnya dan kebolehan kita sekadar melaung-laungkan slogan tetapi tidak bertindak sebagai pasukan dan pada akhirnya memang betul kita jadi Colombia," katanya.
Tambahnya, dahulu apabila rampasan dilakukan hanya melibatkan jumlah sedikit tetapi nilainya sekarang ada yang mencecah jutaan ringgit.
Kamal Affandi berkata, penguatkuasaan undang-undang juga perlu dipertingkatkan lagi di negara ini dalam usaha mengekang penularan jenayah tersebut.
"Di Colombia, penguatkuasaan di sana terhad sebaliknya junta-junta sebenarnya lagi kuat. Di Malaysia, kerajaan perlu bagi kepercayaan dan aset-aset terkini kepada polis selain penghargaan seperti kenaikan pangkat dan sebagainya," katanya.