SABAK BERNAM - Pekebun kecil yang rata-ratanya berpendapatan rendah resah berikutan keputusan kerajaan tidak melaksanakan skim bantuan penanaman semula kepada pekebun kecil.
Pengerusi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Bernam Jaya, Datuk Abd Rahman Bakri berkata, pekebun kecil hanya bergantung harap kepada hasil pertanian bagi menampung kos sara hidup yang semakin tinggi.
"Pekebun kecil merasai bebanan dan tekanan dengan keputusan kerajaan memansuhkan skim bantuan tersebut.
"Kerajaan sepatutnya mengubah taraf hidup golongan pekebun yang didapati masih berada dalam paras kemiskinan," katanya.
Malah, tegas beliau, kos perbelanjaan input pertanian juga semakin tinggi dan membebankan berbanding pendapatan yang diperoleh pekebun kecil.
"Kerajaan perlu mengekalkan atau meningkatkan pemberian subsidi kepada golongan ini khususnya apabila mereka perlu mengeluarkan perbelanjaan tinggi membeli input pertanian dan menyewa jentera," katanya.
Selain itu, katanya, kerajaan perlu menyedari mata wang negara berada di bawah nilai berdasarkan kepada kuasa pembelian yang tidak seimbang dan kadar tukaran asing.
"Ketika zaman kerajaan dahulu mereka menikmati lebih banyak inisiatif dan bantuan berbanding sekarang.
"Perkara ini sepatutnya diberikan perhatian pemerintah pada hari ini," katanya.
Semalam, Sinar Harian melaporkan, kerajaan tidak melaksanakan kembali skim bantuan penanaman semula kepada pekebun kecil di negara ini kerana mahu bersikap adil kepada semua pihak.
Menteri Industri Utama, Teresa Kok Suh Sim berkata, skim itu dilihat hanya memberikan kelebihan kepada satu pihak sebelum ini dan tidak membabitkan keseluruhan termasuk pekebun tersusun di Felda dan Felcra.
ARTIKEL BERKAITAN: Tiada lagi skim bantuan tanaman semula: Teresa Kok