PELABUHAN KLANG - Tiga bot membawa lebih penumpang yang dalam perjalanan dari Sky Mirror ke Sungai Buloh, Jeram, ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Selangor, semalam.
Pengarah Maritim Negeri, Kapten Maritim Mohammad Rosli Kassim berkata, ketiga-tiga bot terbabit ditahan lebih kurang 5.6 batu nautika barat Sungai Buloh, antara jam 1.15 hingga 1.30, petang semalam.
Katanya, bot-bot tersebut ditahan ketika pasukan Maritim sedang melakukan rondaan rutin di sekitar perairan Selangor.
"Hasil pemeriksaan mendapati, bot terbabit melanggar syarat sah lesen iaitu membawa penumpang lebih daripada 12 orang apabila masing-masing membawa dua hingga lima orang lebihan penumpang.
"Dua daripada bot terbabit juga gagal mempamerkan lesen bot," katanya.
Mohammad berkata, bot terbabit ditahan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 selepas menghantar semua penumpang ke jeti nelayan di Sungai Buloh, Jeram sebelum ia bersama pemilik dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Selangor untuk siasatan lanjut.
"Mereka seakan mengambil ringan kesalahan berkenaan walaupun sebelum ini kita pernah menahan beberapa bot atas kesalahan sama.
"Saya ingin mengingatkan pengusaha bot-bot penumpang ini, jangan memikirkan keuntungan semata-mata tanpa memikirkan keselamatan penumpang," katanya.
Tambah beliau, pihaknya tidak akan berkompromi dengan perkara berkenaan.
"Malah kami tetap bertegas menguatkuasakan undang-undang bagi memastikan keselamatan nyawa di laut,” katanya.