KUALA LUMPUR - Berikut kronologi kehilangan remaja perempuan warga Ireland Nora Anne Quoirin, 15, di sebuah resort di Seremban, Negeri Sembilan:
3 Ogos 2019 - Nora Anne Quoirin, 15, remaja Ireland tiba di Resort The Dusun Pantai Hill, Seremban, Negeri Sembilan bersama keluarganya untuk bercuti.
4 Ogos 2019 - Remaja perempuan yang mempunyai masalah pembelajaran itu disedari hilang oleh ahli keluarganya apabila tiada di bilik penginapannya pukul 8 pagi.
4 Ogos 2019 - Polis menerima maklumat kehilangan mangsa daripada pemilik resort selepas dimaklumkan oleh seorang ahli keluarga remaja Ireland itu.
4 Ogos 2019 - Polis melakukan misi pencarian membabitkan bomba dan anggota polis dari Unit Anjing Pengesan (K9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan.
5 Ogos 2019 - Pihak berkuasa termasuk polis dan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) mengawal ketat kawasan Resort The Dusun Pantai Hill, lokasi Nora Anne dilapor hilang.
5 Ogos 2019 - Unit Udara Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) Nora Anne.
5 Ogos 2019 - Operasi SAR melalui udara dibuat di kawasan Gunung Berembun serta meliputi pesisiran Sungai Berembun.
5 Ogos 2019 - Platun Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA) Cheras turut dikerah dalam operasi SAR remaja perempuan itu.
5 Ogos 2019 - Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Mohamad Mat Yusop menafikan kehilangan Nora Anne sebagai kes penculikan seperti dilaporkan media asing. Kes diklasifikasi sebagai orang hilang.
6 Ogos 2019 - Operasi SAR masuk hari ketiga, diteruskan dengan kekuatan 159 anggota dari pelbagai agensi keselamatan.
6 Ogos 2019 - Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta semua pihak berhenti membuat spekulasi sendiri mengenai kehilangan Nora Anne. -Bernama