'Tak perlu bimbang, mulai hari ini, jangan terlibat'

Iklan
Najib Tun Razak

KUALA LUMPUR -"Kamu tidak perlu bimbang, Husni, mulai hari ini, jangan terlibat, saya tidak mahu kamu campur tangan,"

Itu kata-kata bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kepada bekas Menteri Kewangan II ketika dinasihati mengenai risiko perancangan pelaburan syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dalam bidang minyak dan gas dalam syarikat PetroSaudi International Ltd.

Iklan
Iklan

Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, 67, berkata beliau menyuarakan kerisauan itu pada hujung 2009 sejurus mengetahui 1MDB, yang merupakan syarikat di bawah Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) ingin melabur di dalam syarikat perkhidmatan dan pengeluaran minyak itu.

"Saya telah bertemu Najib dan menyuarakan kerisauan saya mengenai risiko pelaburan itu. Saya beritahu beliau, kita (kerajaan) tidak boleh melabur dalam PetroSaudi kerana ia masih baru dalam proses cari gali minyak. Sekiranya minyak tidak dijumpai, seluruh wang pelaburan itu akan habis.

Iklan

"Selain itu, kakitangan 1MDB juga tiada pengalaman dalam bidang minyak dan gas. Saya beritahu Najib, kenapa tak suruh Petronas (Petroliam Nasional Berhad) sahaja melabur di dalam syarikat itu kerana Petronas lagi tahu mengenai bidang itu. Tapi beliau cakap: ‘Kamu tidak perlu bimbang, Husni, mulai hari ini, jangan terlibat’," katanya.

Saksi pendakwaan ke-56 itu berkata demikian semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Izzat Fauzan pada hari ke-49 perbicaraan kes Najib yang didakwa atas tiga tuduhan pecah amanah, satu tuduhan salah guna kedudukan dan tiga tuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Iklan

Saksi itu berkata beliau juga bertemu Najib sebelum itu selepas mengetahui Ahli Parlimen Pekan itu ingin menubuhkan 1MDB.

"Saya beritahu Najib, kita tidak boleh menubuhkan syarikat tanpa melakukan kajian kemungkinan, kita perlu mempunyai unjuran kewangan antara 10 hingga 20 tahun untuk memastikan syarikat itu berdaya maju.

"Najib bagaimanapun berkata ‘saya tahu apa yang saya lakukan, saya akan teruskan," kata Ahmad Husni sambil menambah saat itu beliau menyedari penglibatannya tidak diperlukan.

Menyifatkan dirinya sebagai 'budak pejabat', Ahmad Husni berkata penglibatannya hanyalah untuk menandatangani dokumen dan tidak dirujuk untuk membuat keputusan besar.

Saksi itu berkata pada 2010, beliau menghantar surat peribadi kepada Najib dalam usaha menasihati bekas perdana menteri itu, bagi menyatakan kebimbangannya terhadap pembukaan syarikat 1MDB yang boleh mendatangkan kontroversi dan kesannya kepada kerajaan dan Najib sendiri.

Dalam surat tersebut, beliau menyatakan beberapa elemen kerisauan antaranya, akauntabiliti, prosedur, pengurusan, risiko operasi selain kakitangan 1MDB yang tiada pengalaman dalam risiko minyak dan gas.

"Pada 2010, oleh kerana saya sayang kepada pemimpin, dalam bulan Ogos saya hantar surat pada Najib surat peribadi dengan pembukaan saya kata ‘saya risau,” katanya.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung Khamis. -Bernama