RANTAU PANJANG - Wajah sugul Mohd Nezri Abdullah, 38, yang menghidap penyakit jantung tersumbat tidak dapat disembunyikan lagi setiap kali dia memikirkan peralatan persekolahan tiga anaknya.
Mana tidaknya, hanya tinggal beberapa hari lagi penggal baharu persekolahan akan dibuka, namun dia gagal untuk menyediakan kelengkapan itu kerana masalah kewangan selepas hilang upaya bekerja akibat keadaan kesihatan yang tidak menentu.
Paling merisaukan Mohd Nezri apabila anak sulungnya, Miftahul Jannah, 11, dan Mia Raudah, 9, yang belajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Baroh Pial dilantik sebagai pengawas untuk penggal 2019.
Mohd Nezri berkata, sejak jatuh sakit hampir tujuh bulan lalu, dia banyak menghabiskan masa dengan terlantar di rumah selepas tidak mampu mengambil upah menoreh getah.
"Sejak itulah pendapatan saya mula menyusut dan ada kalanya kami terpaksa ikat perut atau jamah apa yang ada untuk meneruskan hidup.
"Fikiran saya buntu setiap kali memikirkan perbelanjaan sekolah anak-anak termasuklah Mohd Afiq Ikram, 8, dan Fatma Az Zahra, 5,” katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Baroh Pial di sini.
Terdahulu, Mohd Nezri menerima kunjungan dari Kelab Gatih Amal yang turut menyerahkan sumbangan berjumlah RM1,500.
Orang ramai yang ingin membantu boleh salurkan sumbangan ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) milik Mohd Nezri di 06300-41-00001062-8.