KEMAMAN - Tindakan nekad seorang lelaki melarikan sebuah telefon pintar selepas berpura-pura mahu membelinya membawa padah apabila suspek kini sedang dijejaki polis setelah wajahnya berjaya dirakam kamera litar tertutup (CCTV).
Rakaman CCTV perbuatan suspek berusia lingkungan 30-an itu juga turut tular di laman sosial Facebook dan aplikasi WhatsApp.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.15 petang, 19 Disember lalu di sebuah kedai telekomunikasi di Chukai itu, suspek masuk ke dalam kedai itu bersendirian.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd Said Ibrahim berkata, ketika kejadian hanya seorang pembantu kedai yang berada di dalam kedai berkenaan.
"Ketika kejadian suspek dikatakan meletakkan motosikalnya tidak jauh dari kedai.
"Suspek kemudian memasuki kedai dengan memakai topi keledar dan bertanyakan tentang sebuah telefon pintar berjenama Samsung yang dipamerkan dalam rak kaca," katanya.
Mohd Said berkata, suspek kemudian meneliti telefon tersebut sebelum secara tiba-tiba suspek melarikan diri bersama telefon pintar tersebut.
Katanya, ekoran kejadian itu pemilik kedai terbabit mengalami kerugian kira-kira RM469.
Menurutnya lagi, pemilik kedai terbabit kemudiannya membuat laporan polis di Balai Polis Chukai pada jam 4 petang keesokan harinya.
Sehubungan itu, Mohd Said meminta agar orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek agar menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah di talian 09-8592222.
Tambahnya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri di dalam premis.