Muncul juara selepas empat tahun gagap ketika berpidato

Iklan
Mohd Arfaizal muncul juara Pertandingan Pidato Piala Gabenor Bank Negara Malaysia 2019.

KUALA LUMPUR - Selepas empat tahun gagal menamatkan hujah pidato dengan baik, pegawai Jabatan Operasi Kredit Bank Muamalat Malaysia Bhd bukan hanya mampu menghabiskannya dengan sempurna bahkan muncul sebagai juara bagi Pertandingan Pidato Piala Gabenor Bank Negara Malaysia 2019.

Mohd Arfaizal Muhammad Arsat, 42, yang mempertaruhkan pidato dengan tajuk ‘Penggunaan Bahasa Kebangsaan dalam Industri Kewangan Masih Belum Meluas: Cabaran dan Kekangannya’, berkata, dia mengambil masa empat minggu untuk melakukan persediaan bagi peringkat akhir itu termasuk mempelajari bahasa Perancis yang dimasukkan dalam rangka pembukaan penyampaian pidatonya.

Iklan
Iklan

Menurutnya, dia hanya tekad untuk memastikan penyampaian pidato lebih lancar dan dihabiskan dengan baik berbanding sebelum ini namun tidak menyangka akan diangkat sebagai juara.

"Pada 2011 saya dapat tempat ketiga dan masuk kembali pada 2015. Sejak itu setiap tahun saya masuk tetapi saya tak dapat nak habiskan pidato kerana gugup dan gagap. Tahun lepas saya dapat masuk akhir tetapi kejadian sama berulang apabila pertengahan penyampaian saya lost.

Iklan

"Alhamdulillah tahun ini saya dapat buat yang terbaik dan selepas enam tahun menyertai pertandingan ini akhirnya saya bergelar juara,” katanya ditemui selepas penyampaian hadiah pertandingan itu di Auditorium Bank Negara, di sini hari ini.

Antara isi menyampian Mohd Arfaizal adalah mengajuk ucapan tahniah dalam bahasa kebangsaan yang pernah diucapkan oleh Duta Perancis ke Malaysia, Frederic Laplanche kepada kerajaan sekaligus menarik perhatian penonton dan mengetepikan 12 lagi peserta peringkat akhir.

Iklan

Tempat kedua dimenangi oleh Pegawai Sumber Manusia, Mohd Afifi Zahari dari Zurich Life Insurance Malaysia Berhad, manakala tempat ketiga dimenangi Pegawai Khidmat Pelanggan Citibank, Panglima Jagumba J Padasian.

Pemenang Pertandingan Pidato Piala Gabenor 2019 menerima wang tunai masing-masing sebanyak RM5,000 (Juara), RM3,000 (naib juara) dan RM2,000 (tempat ketiga) serta piala, medalion tembaga keluaran khas1, sijil penyertaan dan buku-buku yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Dalam pada itu, satu-satunya peserta bukan melayu peringkat akhir pertandingan tersebut,

Timbalan Pengarah Financial Crime Compliance, Ratha Ramasamy, 33 berkata meskipun tidak mendapat tiga tempat teratas, dia berbangga apabila penyertaan kali pertamanya itu membawanya ke peringkat akhir.

"Kali terakhir saya berpidato berbahasa kebangsaan 12 tahun lalu. Saya hanya cuba nasib dan dengan penyertaan ini dapat meningkatkan lagi pengetahuan dan keyakinan diri saya. Saya juga mahu jadi contoh kepada generasi sekarang khususnya yang bukan melayu tentang pentingnya penguasaan bahasa kebangsaan,”katanya.

Sementara itu, Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia, Abdul Rasheed Ghaffour berkata, Bank Negara Malaysia (BNM) terus komited dalam memastikan Bahasa Kebangsaan dimartabatkan dalam sektor kewangan.

"BNM menggunakan Bahasa Kebangsaan secara meluas sebagai medium komunikasi dengan pengguna untuk menyokong inisiatif rangkuman kewangan BNM bagi meningkatkan kesedaran pengguna tentang perkara-perkara berkaitan kewangan.

"Pertandingan ini mempamerkan kemampuan Bahasa Kebangsaan untuk membicarakan hal Ehwal ekonomi dan kewangan,” katanya.

Ketua Pegarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Datuk Abang Salehuddin Abang Shokeran pula menyifatkan tradisi pertandingan sejak sembilan tahun lalu itu sebagai satu kejayaan oleh pihak BNM.

"Ini adalah usaha daripada BNM yang memberi galakkan yang sangat besar kepada industri kewangan negara memartabatkan seterusnya memberi nilai ekonomi kepada Bahasa Melayu,” katanya.