MELAKA - Seorang mekanik cedera parah selepas sebuah silinder gas yang digunakan untuk kerja-kerja kimpalan meletup secara tiba-tiba di bengkel membaik pulih bas di Jalan Pokok Mangga di sini hari ini.
Akibat kemalangan itu, mangsa, R. Kubenraj, 19, kini koma dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Melaka.
Iklan
Iklan
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Kubu, Timbalan Penguasa Kamarulzaman Mohd Din berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.50 petang dan sepasukan lapan anggota termasuk komander operasi dikejarkan ke lokasi.
"Pasukan bomba tiba di lokasi 10 minit kemudian dan mendapati berlaku letupan dan kebakaran melibatkan sebuah silinder Gas Oxy-Acetylene.
"Insiden itu turut menyebabkan seorang pekerja lelaki berusia 19 tahun cedera dan dilaporkan berada dalam keadaan koma di Hospital Melaka," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, kejadian itu didakwa berlaku kira-kira jam 10.30 pagi, namun panggilan kecemasan hanya dibuat pada petang tadi.
"Difahamkan, ketika kejadian mangsa yang cedera juga telah dihantar ke hospital oleh rakannya sendiri. Pasukan kami telah melakukan prosedur operasi standard dan selesai pada jam 6.54 petang. Punca letupan masih dalam siasatan," katanya.