IPOH - Skim bantuan penanaman semula kepada pekebun kecil perlu dikekalkan bagi memastikan golongan itu mampu meneruskan hidup dengan mengusahakan tanah mereka.
Ketua Peserta Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra) Gelung Pepuyu Dusun Bota Berhad, Kapten (B) Usaili Alias berkata, langkah kerajaan mengumumkan penamatan skim tersebut tidak wajar sama sekali.
Menurutnya, dengan harga komoditi seperti sawit dan getah yang tidak menentu menyebabkan pekebun kecil tidak mampu mengumpul modal untuk kerja-kerja tanaman semula tersebut.
"Pada saya tindakan ini tidak adil kepada pekebun kecil kerana mereka sudah tentu akan kehilangan sumber pendapatan kerana kebanyakan mereka tidak mampu menyediakan modal untuk penanaman semula ini.
"Kita juga bimbang apabila pekebun kecil ini tak mampu tanam semula, tanah akan terbiar dan sekaligus merugikan semua pihak termasuk kerajaan," katanya kepada Sinar Harian hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri Industri Utama, Teresa Kok bahawa kerajaan tidak akan melaksanakan kembali skim bantuan penanaman semula kepada pekebun kecil di negara ini kerana mahu bersikap adil kepada semua pihak.
Dalam pada itu, Usaili berkata, skim tanaman semula yang disediakan melalui Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) sebelum ini turut dimanfaatkan peserta Felcra yang kebanyakannya terdiri daripada pekebun kecil.
Beliau berkata, kebimbangan utama adalah keadaan tanah yang akan terbiar jika skim berkenaan tidak diteruskan.
"Apa yang merisaukan kita ada pegangan tanah yang terbiar itu nanti akan dijual kepada pihak lain kerana terpaksa untuk mendapatkan sumber kewangan.
"Keadaan itu nanti akan pastinya mengurangkan pegangan tanah oleh pekebun kecil yang kebanyakan mereka orang Melayu," katanya.
Katanya, kerajaan perlu memikirkan sedalam-dalamnya sebarang keputusan yang hendak dibuat khususnya melibatkan golongan berpendapatan rendah seperti pekebun kecil.