ADUN UMNO, Pas Kedah tolak cadangan isytihar harta

Iklan
Suraya

ALOR SETAR - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO dan Pas menolak cadangan pengisytiharan harta dalam kalangan ADUN kerana disifatkan tidak relevan dan hanya sesuai dilaksanakan kepada ADUN dari kerajaan.

Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Suraya Yaacob berkata, ADUN bukan pentadbir dan tidak seharusnya terikat kepada pengisytiharan itu.

Iklan
Iklan

ADUN Sungai Tiang itu juga tidak mempunyai keyakinan tinggi terhadap integriti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana didakwa dibayangi unsur politik.

"Kami tidak sepatutnya tertakluk pada peraturan itu, tambahan pula integriti SPRM bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH) dipersoal ramai pihak, dipercayai ada unsur campur tangan politik dengan pelantikan Latheefa Koya,” katanya.

Iklan

Beliau mengulas kenyataan Ketua Pengarah SPRM, Latheefa Koya berhubung cadangannya mewajibkan semua ADUN mengisytiharkan harta masing-masing kerana negeri berisiko menjadi lubuk rasuah.

Ahmad Fadzli

Sementara ADUN Pantai Merdeka dari Pas, Ahmad Fadzli Hashim juga senada dan menyifatkan pengisytiharan harta itu lebih relevan kepada ADUN dari parti kerajaan.

Iklan

"Sebenarnya kami tiada masalah berbuat demikian, cuma sepatutnya diwajibkan kepada ADUN kerajaan. ADUN pembangkang tidak boleh akses kepada pengurusan jabatan mahupun agensi kerajaan.

"Jadi, kebarangkalian untuk melakukan rasuah dana awam itu tiada,” katanya.

Johari

Sementara itu, Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kedah, Datuk Johari Abdul menganggap cadangan mewajibkan ADUN mengisytiharkan harta adalah langkah positif dan memberi manfaat kepada negeri dan wakil rakyat terlibat.

"Ia membolehkan rakyat membuat penilaian terhadap pemimpin secara lebih baik. Rakyat dapat menilai pemimpin itu menerusi pemilikan harta, sebelum dan selepas menjadi wakil rakyat.

"Jika mahu pemimpin itu terus berkhidmat, rakyat boleh menilai pemimpin itu secara menyeluruh,” katanya.

Menurut ADUN Gurun itu, rakyat juga dapat menilai kejujuran wakil rakyat terutama apabila diletakkan semula sebagai calon pilihan raya.

"Jika hendak dilaksanakan, usulkan perkara itu di dalam DUN. Boleh ditetapkan untuk isytihar setiap tahun atau setiap penggal,” katanya.

Beliau berkata, perkara itu tidak memerlukan enakmen atau undang-undang, sekadar dibawa usul dan mendapat persetujuan di peringkat DUN dengan perintah Speaker.