Kesal surat minta masjid sederhanakan pembesar suara tular

Iklan
Masjid Jamek Nurul Iman Kampung Melayu, Kayu Ara Pasong.

PONTIAN -"Surat yang tular minta menyederhanakan bunyi pembesar suara masjid, bukan isu kaum atau parti politik tetapi isu seorang penduduk yang tidak berpuas hati," kata Pengerusi Masjid Nurul Iman Kampung Melayu, Kayu Ara Pasong, Abdul Salam Ahmad Shah.

Abdul Salam yang kesal penularan surat berkenaan berkata, perkara tersebut boleh menimbulkan pelbagai salah anggap dan persepsi negatif kerana melibatkan agama Islam.

Iklan
Iklan

Beliau mengakui dia tidak tahu bagaimana surat tersebut boleh tular, namun menjelaskan ia sebelum ini diletakkan di papan tanda di pintu masjid selepas diserahkan kepada jawatankuasa masjid.

"Apa yang saya boleh beritahu, isu melibatkan penduduk tidak berpuas hati dengan bunyi pembesar suara di sini bukan perkara baharu.

Iklan

"Tidak silap, pada tahun lepas dia pernah mencekik seorang penceramah kemudian beritahu bising sangat. Perkara itu sudah dilaporkan kepada pihak polis," katanya ketika ditemui Sinar Harian hari ini.

Kariah masjid, Yusof Yunos, 68, sedih dengan 'arahan' dikeluarkan melalui surat terbabit sedangkan perkara itu boleh diselesaikan dengan berunding antara pengadu, pejabat agama dan pihak masjid.

Iklan
Abdul Salam (empat dari kiri) bersama kariah Masjid Nurul Iman.

"Saya harap isu ini dapat diselesaikan secepat mungkin. Laungkan azan tidak salah, itu yang dikehendaki oleh Islam," katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulai Sebatang, Taqiuddin Cheman kesal dengan komen segelintir pihak terhadap penularan surat tersebut.

Katanya, segelintir pihak dilihat terlalu cepat menuding jari menyalahkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum penjelasan diberikan.

"Saya ada berhubung dengan pejabat agama untuk mendapat penjelasan. Saya difahamkan pengadu membuat aduan tentang pembesar suara masjid sejak 2016.

"Perbincangan telah dilakukan sebelum ini, malah pegawai daerah sebelum ini telah bertemu dan berbincang dengan pengadu. Arahan terkandung dalam surat yang tular itu difahamkan untuk kuliah dan mengaji supaya disederhanakan bunyinya dan bukannya azan," katanya.

Terdahulu, tular surat meminta Masjid Nurul Iman Kampung Melayu Kayu Ara Pasong menyederhanakan bunyi pembesar suara lorong luar ketika azan berkumandang.