ALOR SETAR - Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Perlis melihat cadangan pemansuhan UPSR adalah satu perkara yang tidak sepatutnya berlaku walaupun pentaksiran berasaskan sekolah diperkenalkan.
Pengerusinya, Noorizal Zakaria berkata, cadangan itu tidak wajar berikutan sistem pendidikan yang ada sekarang di negara ini berlandaskan sistem peperiksaan.
Menurutnya, jika peperiksaan UPSR dimansuhkan, pihaknya melihat kebanyakan murid akan ke sekolah tanpa hala tuju, belajar atas sebab keperluan sahaja sementara kualiti dan tahap pelajar serta sekolah tidak dapat diukur.
"Jadi, tiada sebab untuk belajar bersungguh-sungguh dan pandai. Cikgu juga akan ambil sikap sambil lewa waktu mengajar atas sebab tiada penekanan terhadap peperiksaan utama di peringkat nasional," katanya kepada Sinar Harian.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berita muka depan Sinar Harian hari ini berhubung Persatuan Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru) yang bimbang murid-murid akan menjadi malas jika UPSR
dimansuhkan sekiranya tiada alternatif lain.
Perkara itu susulan cadangan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia ( NUTP) yang mendesak peperiksaan itu dimansuhkan bagi mengurangkan tekanan dan bebanan murid di negara ini
Noorizal turut mempersoalkan faktor sesuai bagi mempertimbangkan pengambilan pelajar ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), Sekolah Berasrama Penuh dan Sekolah Kluster Kecemerlangan jika UPSR dimansuhkan
"Dalam hal ini, akan wujud ketidakadilan dalam pengambilan dan bukan berdasarkan merit. Maka yang tidak mampu dan berkelayakan akan ketinggalan," katanya.
Tegasnya, antara kesan yang bakal dilihat adalah murid-murid akan menjadi malas dan tidak melihat sekolah rendah sebagai satu kepentingan.
"Mereka akan melihat perkara ini sekadar melengkapkan syarat untuk ke sekolah menengah, tiada motivasi untuk pendidikan peringkat rendah dengan belajar bersungguh-sungguh," katanya.