PASIR GUDANG - Sekolah rendah di negeri ini digalakkan untuk menubuhkan pasukan Kadet Bomba bagi mendedahkan murid-murid dengan ilmu kebombaan.
Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor, Penolong Pesuruhjaya Bomba Pauzan Ahmad berkata, setakat ini terdapat sebanyak 153 pasukan Kadet Bomba di seluruh Johor.
"Di Pasir Gudang khususnya mempunyai 12 pasukan Kadet Bomba. Menerusi kempen ke sekolah-sekolah ini, kita harap pihak sekolah akan lebih terbuka untuk menyambut saranan menubuhkan lebih banyak Kadet Bomba," katanya kepada pemberita selepas meninjau perjalanan Program Abang Bomba Ke Sekolah di SMK Tanjung Puteri Resort, di sini hari ini.
Mengulas program berskala besar diadakan di 22 sekolah di Pasir Gudang itu, Pauzan berkata, inisiatif tersebut diambil bagi membantu mengalihkan tumpuan pelajar daripada insiden pencemaran kimia yang lalu.
"Program kali ini khusus buat Pasir Gudang dengan mengambil kira kebanyakan pelajar masih memikirkan mengenai operasi yang lalu (pencemaran kimia).
"Kita buat secara besar-besaran untuk alih tumpuan mereka supaya mereka dapat berfikir mengenai perkara lain," katanya.
Dalam program tersebut, seramai 160 anggota bomba berkongsi pelbagai pengalaman dan tatacara penggunaan peralatan kebombaan kepada murid di setiap sekolah.
Pauzan berkata, murid ditunjukkan cara mengendalikan peralatan semasa operasi dan berpeluang mencuba sendiri sambil mendengar perkongsian anggota terlibat.
"Kita ada enam stesen untuk murid-murid merasai sendiri penggunaan peralatan tersebut, contohnya peralatan hidraulik yang digunakan untuk memotong kereta. Kebiasaan kita jarang beri peluang kepada murid untuk mencuba peralatan kebombaan.
"Anggota boleh juga kongsi pengalaman ketika operasi, sebab itu kita hantar ramai anggota di setiap sekolah supaya mereka ada peluang untuk berinteraksi.
"Kita harap aktiviti ini dapat menambahkan keceriaan murid-murid agar dapat hadir ke sekolah dengan hati yang gembira," katanya.