Tulisan khat: Antara warisan dan asimilasi budaya

Iklan
Gambar hiasan

MALAYSIA tidak pernah lekang dengan isu panas termasuk yang terbaharu berkaitan pengumuman Kementerian Pendidikan memperkenalkan tulisan khat dalam sukatan mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun Empat.

Pengumuman itu menyebabkan 138 pemimpin akar umbi DAP termasuk 13 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menggesa menteri Kabinet yang mewakili parti itu membantah rancangan tersebut.

Iklan
Iklan

Rancangan yang bakal dilaksanakan mulai tahun hadapan itu juga mendapat tentangan 12 badan pertubuhan pendidikan Cina dan Tamil kerana ia dilihat membebankan murid Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT).

Pertubuhan dipimpin Gabungan Persatuan Guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong) dan Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) mendakwa pelaksanaan pengajian khat di sekolah vernakular tidak bertepatan dengan keperluan sebenar pembelajaran Bahasa Melayu.

Iklan

Pengerusi Jiao Zong, Ong Chiow Chuen berkata, jika dasar itu tetap dilaksanakan di dua aliran sekolah berkenaan, mereka sepakat meminta rundingan diadakan dengan pemegang taruh bersama pihak terbabit dalam pendidikan Cina dan Tamil.

Chiow Chuen secara tegas menyatakan keputusan Kementerian Pendidikan tidak membantu meningkatkan penguasaan Bahasa Melayu walaupun kementerian itu pada 2 Ogos lalu menjelaskan pelaksanaan dasar itu bertujuan menerapkan nilai warisan bahasa Melayu dan identiti negara.

Iklan

Kementerian Pendidikan bukan sahaja menyatakan pelaksanaannya mengambil kira pendekatan penyampaian mudah difahami selain tidak membebankan murid dan guru malah kementerian itu turut ‘berjanji’ tidak akan menjalankan pentaksiran dari aspek seni bahasa apabila ia dilaksanakan.

"Pengenalan kepada tulisan khat mengambil kira ia sebahagian warisan bahasa Melayu dan sejajar kedudukannya sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa perpaduan. Selain itu, tulisan ini juga terdapat pada jata negara, jata negeri dan wang kertas Ringgit Malaysia,” katanya.Itu adalah antara rasional yang diberikan namun masih ramai yang ‘berbunyi’ serta mahu terus membantah.

Warisan

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik dalam wawancara dengan sebuah portal berita berkata, pengenalan tulisan khat adalah usaha untuk murid mengenali warisan dan identiti negara selain meningkatkan semangat patriotisme.

"Ia dilakukan bagi murid untuk kenal warisan negara kita. Siapa yang mengenali penulisan terawal sebelum sejarah di Malaysia? Saya rasa kalau dipraktikkan juga ramai masyarakat akan membantah kerana tidak mengenali tulisan tersebut,” katanya.

Jika kita imbas sejarah, tulisan jawi mula berkembang di Tanah Melayu sejak kedatangan Islam pada abad ke-10 apabila pedagang Arab datang berniaga di kepulauan Melayu sehingga menjadikan orang Melayu yang celik huruf pada abad ke-11 sebagai golongan celik jawi.

Tulisan yang diperkenalkan kepada penduduk Nusantara ialah huruf Arab atau sekarang dikenali dengan nama tulisan jawi dan ia menjadi bentuk penulisan utama bahasa Melayu selama kira-kira tujuh abad sebelum tulisan rumi diperkenalkan pada akhir abad ke-19.

Disebabkan sejarah itu, sebahagian kandungan buku teks Bahasa Melayu Tahun Empat secara tidak langsung menerangkan asal-usul bahasa Melayu dan memberi pendedahan seni khat mengikut modul yang disusun dan ditetapkan.

Difahamkan, tulisan khat diperkenalkan di bawah seni Bahasa Melayu itu bukanlah dipelajari seperti belajar jawi dalam subjek Pendidikan Islam, bahkan murid tidak akan belajar mengeja, menulis semua huruf jawi satu-persatu.

Murid Tahap II terbabit hanya melakukan aktiviti 4T dalam kelas iaitu tekap, tulis, tiru dan tunjuk hasil kepada guru. Caranya yang mudah namun indah untuk dihayati sekali gus menghasilkan pembelajaran secara didik hibur.

Berdasarkan aktiviti itu, pelaksanaan tulisan khat sinonim dengan orang Melayu jelas bukan satu proses asimilasi budaya namun niat murni kementerian disalah erti sebahagian masyarakat yang terasa terancam dan terdorong untuk mempercayai bahawa budaya dan etnik berdepan ancaman kepupusan.

Bagaimana perkara itu boleh berlaku, sedangkan Penasihat DAP, Lim Kit Siang sendiri mengaku tidak pernah merasakan identiti Cina dalam dirinya berkurang semasa mempelajari tulisan jawi ketika ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri pada 1969.

Jadi, marilah kita melihat dari sudut positif bahawa aktiviti serta pertambahan muka surat dalam buku teks Tahun Empat itu sebagai pertambahan ilmu dan ia perlu dibanggakan kerana Bahasa Melayu menjadi satu-satunya bahasa di dunia yang mempunyai dua sistem tulisan iaitu rumi dan jawi.