SANDARAN untuk meraih pingat emas pertama negara dalam Sukan Olimpik bukan semata-mata diletakkan kepada badminton malahan merangkumi beberapa acara sukan lain, kata Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara Datuk Ahmad Shapawi Ismail.
"Selain badminton, beberapa jenis sukan telah dikenal pasti sebagai acara sukan yang mampu untuk menyumbang pingat emas kepada negara seperti berbasikal trek, terjun dan karate-do," katanya semalam.
Menurut Ahmad Shapawi, sebelum ini Malaysia bergantung kepada sumber yang terhad untuk menghadirkan pencapaian yang membanggakan kepada arena sukan negara dalam Sukan Olimpik.
"Jika sebelum ini kita hanya nampak sukan badminton sahaja. Ini bukan bermakna kita (MSN) menidakkan sumbangan badminton. Sekarang ini kita ada dalam sukan terjun contohnya, Chong Jun Hoong berjaya memecah dominasi penerjun China dalam acara individu. Begitu juga dalam sukan berbasikal, kita ada Azizulhasni (Awang) yang mampu mencipta kejutan,” katanya.
Ahmad Shapawi berkata, tahun 2019 menjadi tahun penting bagi semua atlet walaupun hanya ada temasya Sukan Sea kerana mereka perlu melayakkan diri secara merit atau mengumpul mata kelayakan untuk beraksi di Sukan Olimpik Tokyo.
"Melalui penstrukturan semula program latihan atlet, atlet-atlet yang telah diletakkan dalam Tier 1 dan 2, mereka sekarang ini perlu melayakkan diri ke Sukan Olimpik. Setakat ini dua pelayar negara telah melayakkan diri melalui pencapaian di Sukan Asia, manakala bagi lain-lain atlet, tahun hadapan adalah tahun kelayakan ke Olimpik dan mereka mesti melepasi had kelayakan," kata beliau.
Dua atlet sukan pelayaran yang telahpun layak secara merit ke Sukan Olimpik Tokyo ialah Khairulnizam Mohd Afendy dan Nur Shazrin Abdul Latif.
Sementara sukan karate turut diletakkan sebagai sandaran pingat emas memandangkan acara berkenaan akan dipertandingkan buat pertama kali dalam temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020.
Malaysia sudah memiliki tiga atlet dalam kelompok 10 terbaik dunia iaitu Syakilla Salni Jefry Krisnan dalam kategori kumite, serta Lim Chee Wei dan Celine Lee Xin Yi untuk kategori kata.
Untuk rekod, pada 30 Oktober lalu, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengumumkan Program Podium akan di struktur semula secara holistik yang akan dikendalikan sepenuhnya oleh MSN.
Program baharu itu menggunakan pendekatan sistem berperingkat iaitu fleksibiliti dalam pemilihan atlet serta pelaksanaan program dapat dibuat secara efisien dan penetapan sasaran lebih mudah dilaksanakan.
Melalui program baharu itu, Tahap 1 untuk Sukan Olimpik dan Paralimpik; Tahap 2 (Sukan Asia, Para Asia dan Sukan Komanwel); Tahap 3 (Sukan Sea dan Para Asean) dan Tahap 4, merangkumi sukan yang tidak dipertandingkan di mana-mana temasya sukan berdasarkan prestasi di pentas antarabangsa seperti bina badan.
Kerajaan memperuntukkan RM100 juta pada Belanjawan 2019 yang dikhususkan kepada persiapan atlet menuju ke Sukan Olimpik Tokyo 2020. - Bernama