IPOH - Seorang Ahli Jawatankuasa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Bagan Datuk tampil membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendakwa tiga pemimpin di bahagian itu melakukan penyelewengan dengan menjual dua ekor lembu sumbangan sempena Hari Raya Aidiladha.
AJK tersebut, Bahaman Tokiran berkata, kejadian itu didakwa berlaku pada tahun lalu apabila bahagian tersebut menerima tiga ekor lembu korban daripada Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
Menurutnya, pada 21 Ogos 2018, dua daripada tiga lembu itu telah dijual oleh dua pemimpin bahagian itu kepada seorang lelaki dengan harga RM5,000.
"Lembu korban untuk rakyat biasa ini telah diseleweng untuk tujuan peribadi yang melanggar tuntutan hukum agama dan salah di sisi undang-undang.
"Saya membuat laporan SPRM ini kerana saya tidak dapat menerima kesalahan seperti ini yang dilakukan oleh ahli mahupun pimpinan Bersatu yang sememangnya menentang rasuah dan penyelewengan," katanya kepada Sinar Harian hari ini.
Beliau berkata, laporan tersebut dibuat di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya hari ini kerana kecewa tiada sebarang tindakan diambil ke atas tiga pemimpin bahagian itu walaupun sudah dibangkitkan dalam mesyuarat bahagian awal tahun ini.
Katanya, beberapa bukti telah dikemukakan kepada SPRM untuk memudahkan siasatan dan mengheret individu terlibat ke muka pengadilan.
Sementara itu, Ketua Bersatu Bahagian Bagan Datuk, Abdul Malik Karim yang dihubungi Sinar Harian menjelaskan pihaknya tidak dapat memberikan sebarang kenyataan berkaitan laporan tersebut.
Menurutnya, Unit Media Bersatu dijangka akan mengeluarkan kenyataan berhubung perkara tersebut dalam masa terdekat.