JURNAL SIHAT
APABILA sudah beria-ia membuat perancangan rapi untuk anak-anak bersantai sambil mengeluarkan peluh, tiba-tiba cuaca mendung disertai hujan lebat pula.
Mahu tidak mahu, terpaksa kita memutuskan untuk membatalkan sahaja niat baik tadi. Natijahnya, anak-anak akan bermuram durja.
Pun begitu, pada masa kini, terdapat pelbagai alternatif untuk memenuhi kehendak si cilik. Apa kata, suntik keceriaan dengan membawa mereka ke SuperPark Malaysia yang terletak di Avenue K Shopping Mall, Kuala Lumpur.
Ya, SuperPark Malaysia terletak dalam satu bangunan sekali gus cuaca bukan menjadi penghalang.
Lebih menarik, taman permainan yang berasal dari negara Finland itu telah diperkenalkan di Malaysia pada bulan Disember tahun 2018 itu membuka peluang bukan sahaja kepada kanak-kanak malah untuk orang dewasa bermain dengan semua permainan di premis itu. Secara keseluruhannya, terdapat 28 jenis permainan disediakan di kawasan seluas 0.37 hektar.
Ia meliputi permainan berbentuk fizikal, interaktif, intelektual dan mencabar. Harga kemasukan ke SuperPark sama bagi kategori kanak-kanak dan dewasa.
Pengurus Pemasaran Kanannya, Andes Wong Shao Hern memberitahu, boleh dikatakan hampir 90 peratus permainan boleh dimainkan oleh kanak-kanak.
"Cuma ada sesetengah (permainan) memerlukan ketinggian 100 sentimeter ke atas. Namun bagi orang dewasa mereka boleh bersama dengan anak-anak, kami tidak mahu ibu bapa ini hanya melihat anak-anak bermain.
"Bagaimanapun terdapat berat tertentu harus dipatuhi oleh pengunjung dewasa iaitu 150 kilogram untuk beberapa jenis permainan, contohnya seperti flying fox dan trampolin.
"Konsep permainan SuperPark ialah You are made to move yang mana setiap aktiviti perlukan pergerakan fizikal dan ada tahap yang perlu dicapai. Ia membuatkan pengunjung berasa tercabar dan seronok untuk menamatkan permainan hingga ke penghujungnya," kata Andes ketika ditemui Sihat:Aktif di SuperPark baru-baru ini.
Mungkin ada benarnya kata-kata Andes. Tidak jauh dari lokasi penulis, kelihatan tiga orang kanak-kanak yang bermain permainan superball sibuk bersaing untuk menang apabila carta digital mempamerkan markah yang perlu dicapai.
Daya tarikan
Andes menambah, SuperPark mempunyai dua aras tingkat. Ia terbahagi kepada tiga kawasan seperti Adventure Area yang menawarkan permainan seperti iwall, flying fox, tube slide, pedal car track dan banyak lagi.
Game Arena pula dibahagikan kepada permainan seperti baseball, street basketball dan robokeeper serta freestyle hall yang terdiri daripada superclimb, ninja track, skate and scoot world, trampolin platform dan skate rink.
Tidak perlu bimbang untuk bermain, semua permainan tersebut sesuai untuk peringkat umur dan boleh dicuba.
Penulis difahamkan, antara aktiviti paling popular dan disukai ramai ialah ice skating yang mempunyai keluasan 0.23 hektar.
Selain itu, superclimb mempunyai tiga cabaran yang boleh dipanjat. Trampolin yang mempunyai empat peringkat juga harus dicuba. Permainan skate pula menyediakan laluan skate yang begitu menyeronokkan.
Namun apa yang pasti, semua permainan yang ditawarkan mampu membangkitkan adrenalin. Paling penting, sebagai tambah nilai, ibu bapa tidak perlu risau anak-anak akan digigit nyamuk, suhu panas atau hujan kerana permainan itu bersifat indoor.
Para pengunjung juga tidak perlu risau dengan keselamatan anak-anak mereka lantaran pihak SuperPark menyediakan petugas yang mahir dengan permainan yang dikendalikan.
Contohnya, bagi pengunjung yang baru pertama kali bermain permainan skate atau superclimb, petugas akan mengajar cara asas untuk bermain.
Bantuan paparan digital yang disediakan pada setiap permainan turut membantu.
"Bukan itu sahaja, orang ramai tidak perlu membawa peralatan untuk bermain. Contohnya ice skating, kita menyediakan kasut, peralatan keselamatan dan beberapa item lagi.
"Pengunjung hanya perlu memakai kasut bertutup bagi beberapa permainan yang memerlukan pemakaian kasut. Selebihnya tidak perlu memakai kasut kerana kami akan berikan stoking yang sesuai untuk bermain dalam SuperPark,” jelas Andes sambil menambah tiket yang dibeli membolehkan pengunjung berada sehari suntuk di taman permainan itu.
Pengangkutan
Meskipun SuperPark Malaysia berada di tengah ibu kota yang sinonim dengan kesesakan, pengunjung usah risau kerana terdapat pengangkutan awam yang memudahkan perjalanan ke sana.
Tren LRT Kelana Jaya Line boleh digunakan dan stesen paling terdekat pastinya di KLCC atau pengunjung boleh turun di stesen bas Jalan Ampang. Bagi yang memandu, anda hanya perlu menaip aksara pencarian Avenue K Shopping Mall.
Pun demikian, pesan Andes, jangan lupa membuat tempahan awal di laman web SuperPark Malaysia terlebih dahulu bagi mengelakkan anda gigit jari kerana jumlah pengunjung amat ramai. Kemasukan pada hujung minggu juga mempunyai limitasi.
"Bagi memudahkan pengunjung, kami dalam perancangan untuk memperkenalkan sistem ahli atau pas bulanan," ujar Andes lagi.
Biarpun tidak ada sistem ahli yang membolehkan pengunjung menikmati harga promosi, namun terdapat harga istimewa untuk pakej kumpulan atau rombongan sekolah.
ANEKDOT
APA kata orang ramai
"Seronok melihat anak-anak bermain permainan yang menguji minda. Bagi saya tempat sebegini bagus untuk membantu anak-anak bagi perkembangan mental mereka.
- Hadiyah Mohamed Ibrahim, 32,Ahli Terapi
"Saya tahu tempat ini daripada kawan-kawan. Saya guna pengangkutan awam dari Kajang, ia hanya mengambil masa lebih kurang sejam perjalanan. Saya cukup gembira dengan fasiliti yang disediakan di SuperPark."
- Syahmi Hakim Mohd Hamzani, 21 Penuntut Universiti Tun Hussein Onn Malaysia
"Saya datang ke SuperPark untuk meraikan hari jadi anak. Dia suka aktiviti lasak dan lokasi ini amat sesuai dan mempunyai banyak permainan menarik. Saya lihat si cilik amat seronok bersantai di SuperPark."
- Nik Roslinda Nik Soh, 32 Suri rumah
"Saya amat suka permainan trampolin dan street basketball. Saya sarankan pengunjung datang beramai-ramai. Sungguh teruja apabila kita dapat bermain secara berkumpulan."
- Syahira Ireany Roji, 21 penuntut Universiti Teknologi Mara, Seri Iskandar, Perak
SuperPark Malaysia
Alamat: Tingkat 4, Evenue K Shopping Mall, Jalan Ampang, Kuala Lumpur.
Harga tiket: Hari biasa (Isnin hingga Jumaat) bermula jam 10 pagi hingga 9 malam - RM50. Untuk waktu petang sahaja bermula jam 6 petang hingga 9 malam - RM30.
Hujung minggu termasuk cuti umum dan cuti sekolah
- Satu hari bermula jam 9 pagi hingga 9 malam - RM70.
- Petang bermula jam 6 petang hingga 9 malam - RM45.
- Pertengahan bermula jam 1.30 petang hingga 5.30 petang - RM55.
- Pagi bermula jam 9 pagi hingga 1 petang RM45.
Caj stoking RM5 dan boleh digunakan pada kemudian hari.
Harga promosi untuk 4 tiket RM150.
Turut disediakan pakej sambutan hari jadi di SuperPark
Maklumat lanjut layari laman web SuperPark Malaysia http://www.superpark.com.my