Anda musykil doktor jawab
SOALAN 1
Faktor genetik lahir anak sumbing
DOKTOR, saya sedang hamil anak sulung. Saya bimbang anak yang akan lahir mengalami masalah bibir sumbing. Ini kerana dalam keturunan kami ada yang mengalami hal itu. Saya ingin bertanya doktor, apakah sebab dan cara untuk menghindarinya? Bagaimana pula dengan rawatan untuk mengembalikan bentuk asal bibir sekiranya sumbing?. -INSAN RISAU, MAHANI JALIL, 27, KUALA KANGSAR, PERAK.
JAWAPAN:
Puan, keadaan bayi dalam kandungan bergantung pada persekitaran, pemakanan dan juga ubat-ubatan yang diambil ketika sedang hamil.
Salah satu perkara yang tidak diingini boleh berlaku kepada bayi dalam kandungan ialah sumbing mulut dan lelangit atau kedua-duanya
Sumbing pada bibir dan lelangit adalah kecacatan kelahiran yang berlaku apabila mulut bayi tidak terbentuk dengan sempurna ketika dalam rahim.
Biasanya sumbing bibir boleh dikenalpasti ketika ujian imbasan. Sementara sumbing lelangit hanya dapat diketahui apabila bayi dilahirkan. (Bibir terbentuk pada minggu keempat dan minggu ketujuh kehamilan).
Tiada sebab spesifik bayi lahir sumbing. Namun begitu, terdapat pengaruh genetik yang mana jika ibu, bapa, ahli keluarga yang sumbing berisiko untuk turut mendapat anak sumbing.
Ibu yang merokok, minum alkohol, obesiti dan diabetes ketika hamil adalah turut berisiko mendapat bayi sumbing.
Selain itu,wanita yang menggunakan ubat sawan atau epilepsi seperti asid valproik pada trimester pertama kehamilan, berisiko tinggi jika dibandingkan dengan wanita yang tidak mengambil ubat itu.
Bayi yang mempunyai masalah sedemikian akan menghadapi masalah pertuturan, makan, pergigian dan jangkitan pada telinga.
Apa yang boleh ibu lakukan semasa hamil adalah dengan menghadiri sesi kaunseling genetik. Dengan itu, ibu lebih bersedia dari segi mental dan fizikal.
Pengambilan vitamin seperti asid folik sebelum hamil amat penting bagi pertumbuhan bayi.
Puan tidak perlu risau. Ada rawatan untuk masalah sumbing tersedia seawal selepas bayi dilahirkan. Pembedahan itu bergantung pada masalah sumbing yang dihadapi.
Ada bayi hanya memerlukan sekali pembedahan dan ada perlu melalui beberapa siri pembedahan.
Seeloknya pembedahan dilakukan ketika bayi berumur sembilan hingga 12 bulan. Pembedahan biasanya dilakukan oleh doktor pembedahan plastik dengan menyambungkan otot dan tisu pada lelangit dan bibir bagi memperbaiki sumbing. Pembedahan memerlukan bius menyeluruh dan tinggal dalam wad untuk beberapa hari.
SOALAN 2
Bahaya makanan separuh masak
DOKTOR, saya mengandung lima bulan dan amat suka makan makanan separuh masak. Ada kawan menasihati supaya tidak mengambilnya ketika mengandung kerana dipercayai boleh menyebabkan keguguran. Doktor, persoalan saya, betulkah fakta itu? -IBU RISAU, NADIA MUSA, 36, WAKAF BUNUT, PASIR PUTEH, KELANTAN
JAWAPAN:
PUAN, secara umumnya makanan separuh masak tidak membahayakan atau mencacatkan kandungan. Malah, makanan separuh masak seperti sushi lebih sihat berbanding makanan yang bergoreng, dibakar dan dipanggang kerana kurang kandungan minyak dan karbon.
Pun demikian, ibu yang hamil tidak digalakkan mengambil makanan yang mentah atau separuh masak. Ini kerana makanan tersebut mungkin mengandungi bakteria atau parasit yang boleh menjangkiti ibu yang hamil, secara tidak langsung menjejaskan kehamilan.
Bakteria dan parasit tersebut boleh dihapuskan jika makanan dimasak dengan sempurna.
Saya turut tidak menggalakkan ibu hamil menghadkan pengambilan makanan tertentu yang tidak dirasakan sesuai sepanjang tempoh kehamilan. Ibu hamil sepatutnya tidak berpantang untuk mendapat kesemua zat makanan yang diperlukan oleh bayi.
Makanan yang bagus ketika hamil ialah makanan yang seimbang. Lengkapi zat makanan yang kaya dengan sumber kalsium (bahan tenusu), protein (ikan, telur, daging), zat besi (sayur hijau, susu) dan vitamin (sayur, buah).
Profil
Doktor Mohazmi Mohamed merupakan Pakar Perubatan Keluarga dan merangkap Pensyarah Kanan, Fakulti Perubatan, Universiti Malaya.