JOHOR BAHRU - [DIKEMASKINI] Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor merampas sebanyak 147 produk dipercayai tiruan daripada sebuah syarikat kosmetik terkemuka di negara ini, semalam.
Difahamkan, pemilik produk itu yang juga usahawan, Nur Sajat turut terlibat dalam operasi bagi membantu KPDNHEP negeri mengenal pasti barangan yang bukan tulen daripada syarikatnya dalam serbuan bermula jam 6 petang.
Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Johor, Zubir Hamsa berkata, kesemua barangan dirampas ialah bengkung dari jenama Let's Cantik yang disyaki tiruan dirampas di tujuh premis sekitar Bandar Baru Uda dan Pandan.
"Tindakan adalah hasil dari pemantauan dan risikan KPDNHEP bersama pemilik cap dagang produk ini sele[as menerima laporan kira-kira dua minggu lalu.
"Beliau (pemilik) juga ada terlibat dalam operasi ini yang mana bertujuan untuk membantu kita kenal pasti produk ciplak," katanya pada sidang media di Menara Ansar di sini hari ini.
Zubir berkata, hasil pemeriksaan dilakukan, pemilik turut mengesahkan produk dirampas ini turut mempunyai tiga ke empat ciri berbeza daripada produk tulen dipasarkan.
"Daripada makluman ada beberapa ciri berbeza daripada produk tulen, ia disahkan sendiri oleh pemilik produk ketika operasi. Kita juga percaya jumlah rampasan dibuat ini dianggarkan bernilai RM17,455.70.
"Kesemua barangan ini disita di bawah Seksyen 8(2)(c) Akta Perihal Dagangan 2011," katanya.
Beliau berkata, pihaknya juga akan melakukan siasatan untuk mengetahui kesemua peniaga yang menjual barangan terbabit maklum bahawa produk itu adalah ciplak atau sebaliknya.
"Perkara ini (peniaga maklum produk adalah ciplak) kita akan siasat, tetapi kami percaya mereka tahu, dan jika benar ia jadi satu kesalahan.
"Kita memandang serius isu ini kerana produk yang dipasarkan adalah untuk tubuh badan, kita bimbang jika pembuatannya tidak dikawal ia boleh mendatangkan mudarat kepada pengguna," katanya.