PUTRAJAYA - Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berangkat mengadakan lawatan mengejut ke Ibu Pejabat Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di Kompleks Islam Putrajaya di sini.
Keberangkatan tiba Seri Paduka pada 9.15 pagi disambut Ketua Pengarah Jakim, Datuk Mohamad Nordin Ibrahim, Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri serta pengurusan tertinggi jabatan itu.
Lawatan tidak berjadual itu dilakukan sejurus Al-Sultan Abdullah selesai mengadakan mesyuarat mingguan pra kabinet bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di Istana Melawati pagi ini.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, lawatan mengejut dan ringkas itu adalah inisiatif Seri Paduka sendiri selaku ketua agama negara.
Beliau berkata, lawatan itu membolehkan baginda mendapat pencerahan lebih mendalam berkenaan fungsi dan peranan Jakim di samping beramah mesra dengan warga jabatan.
"Seri Paduka juga menzahirkan hasrat baginda untuk mengadakan lawatan mengejut dan tidak berjadual seumpama ini ke agensi kerajaan Persekutuan yang lain selepas sesi mesyuarat mingguan pra kabinet," katanya di sini.
Ahmad Fadil berkata, penglibatan aktif Seri Paduka dengan Jakim bermula susulan Majlis Munaqasyah Pengurusan Hal Ehwal Islam Negeri-Negeri di bawah naungan baginda di Istana Negara pada 20 Jun lepas.
Terdahulu, Al-Sultan Abdullah berkenan mendengar taklimat mengenai Jakim oleh Mohamad Nordin diikuti titah ucapan dan perbincangan yang dibuat secara tertutup.
Seri Paduka kemudiannya dibawa melawat studio televisyen Jakim yang menempatkan Studio Utama Yusuf dan Studio Mini Al-Qasas, lokasi rakaman program terbitan jabatan itu yang terletak di aras satu.
Lawatan itu diakhiri dengan Al-Sultan Abdullah bersalam-salaman dan bergambar kenangan bersama warga Jakim sebelum berangkat pulang.- Bernama