[DIKEMASKINI] 'Baba koma di Turki, perlukan RM400,000 untuk dibawa pulang'

Iklan
Keluarga rayu sumbangan orang ramai bagi membawa pulang Profesor Ab Rahim pulang ke Malaysia.

SHAH ALAM - Keluarga kepada bekas pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang kini dirawat di Pamukkale Hospital University, Denizle, Turki merayu sumbangan orang ramai bagi menampung kos rawatan dan membawanya pulang ke Malaysia.

Menantunya, Muhamad Fikri Aziz, 33, berkata, Profesor Dr Ab Rahim Ismail, 62, yang dirawat di unit rawatan rapi kardiak (CICU) masih koma sehingga kini selepas terkena serangan jantung 15 Julai lalu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pihaknya memerlukan kira-kira RM400,000 bagi menampung kos perubatan, penerbangan dan lain-lain perbelanjaan berkaitan urusan membawa pulang Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Akademik dan Pengantarabangsaan, Universiti Antarabangsa Al-Madinah (MEDIU), Kuala Lumpur itu.

"Sejak baba (Ab Rahim) dimasukkan ke hospital, dia masih tidak sedarkan diri kerana turut mengalami kecederaan di bahagian otak akibat hentakan lepas jatuh pengsan.

Iklan

"Saya dimaklumkan oleh abang ipar kos perubatan di hospital sehari saja hampir RM3,000 itu pun tidak termasuk kos pembedahan. Sebab itu kalau boleh kami usaha nak bawa dia balik dan dapatkan rawatan di Malaysia,” katanya kepada Sinar Harian.

Muhamad Fikri yang bertindak sebagai pemegang amanah berkata, pihaknya telah berjaya mengumpul sebanyak RM75,000 hasil sumbangan keluarga, saudara-mara, kenalan rapat dan rakyat Malaysia.

Iklan

Namun katanya, jumlah itu masih jauh daripada sasaran kos diperlukan bagi membolehkan bapa mentuanya dibawa pulang.

Keluarga rayu sumbangan orang ramai bagi membawa pulang Profesor Ab Rahim pulang ke Malaysia.

"Kami diberi dua pilihan untuk bawa pulang baba sama ada dengan penerbangan terus dengan kos lebih tinggi atau transit dengan anggaran kos RM400,000.

"Namun doktor hanya benarkan baba pulang sekiranya dia sudah sedar dan ‘fit to fly’. Kami rayu rakyat Malaysia bantu sumbang seorang sedikit untuk bawa bapa mentua pulang dan dapat rawatan di tanah air,” katanya.

Terdahulu, Muhamad Fikri berkata bapa mentuanya yang mempunyai kepakaran tinggi dalam bahasa Arab menerima jemputan khas dari sebuah universiti di Turki bagi menghadiri majlis konvokesyen.

Katanya, kos perjalanan bapa mentuanya ke Turki ditanggung pihak universiti tersebut.

"Tapi insiden berlaku selepas baba habis urusan di majlis tersebut ketika bersiar-siar di sekitar Denizle membeli cenderahati untuk cucunya. Baba diserang sakit jantung lalu jatuh pengsan menyebabkan kepalanya terhantuk di lantai dan mengalami gegaran.

"Sejak itu, baba masih belum sedar dan hanya boleh dilawati kira-kira 15 minit oleh seorang pelawat setiap hari. Kami sukar berkomunikasi di sana (Turki) nasib ada pelajar menuntut di universiti di sana, Izzah Atirah Abdullah yang bantu jadi jurubahasa.

"Sebab tu kami berharap sangat dapat bawa baba balik ke Malaysia kerana percaya doktor di sini ramai lebih pakar,” katanya.

Menurut Muhamad Fikri, perkara itu sudah dimaklumkan kepada pihak kedutaan Malaysia dan pihaknya ada meminta bantuan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Selangor namun masih belum menerima apa-apa maklum balas.

Orang ramai yang bermurah hati menghulurkan bantuan boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank 512268522574 milik Muhamad Fikri yang bertindak sebagai pemegang amanah.