KUANTAN - Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga Kuantan berjaya menahan 85 warga Vietnam termasuk tekong dan awak awak dalam Operasi Gelora Khas yang dilaksanakan selama 15 hari bermula 25 Julai lalu.
Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri Dan Ketenteraman Awam Polis Diraja Malaysia, Datuk Fisol Salleh berkata, operasi pesisiran sempadan Malaysia di Pantai Timur itu turut merangkumi perairan Rompin, Pahang ke Takbai, Thailand.
Menurutnya, menerusi tangkapan itu polis turut merampas enam buah bot dan peralatan serta hasil laut dengan keseluruhannya bernilai RM6.5 juta.
"Kesemua mereka ditahan dalam enam tangkapan dan rampasan berasingan dengan kedudukan antara 38.2 batu nautika dari Kuala Pahang Pekan dan 103 batu nautika dari lokasi sama.
"Rampasan paling tinggi adalah dalam tangkapan kelima dan keenam yang dilakukan pada 27 Julai sekitar jam 1.30 dan 1.50 petang. Nilai keseluruhan kedua-dua tangkapan ialah RM3 juta termasuk nilai bot dan peralatan.
"Kesemua mereka yang ditahan diserahkan kepada Jabatan Perikanan Malaysia untuk didakwa di bawah Seksyen 15 dan 16 Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa kebenaran dan memasuki perairan Malaysia tanpa kebenaran," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media operasi tersebut di Markas Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga Kuantan di Padang Lalang di sini hari ini.
Hadir sama, Komander Pasukan Gerakan Udara PDRM, Datuk Mohd Hishamudin Tahar; Komander Pasukan Polis Marin, selaku pengarah Operasi Gelora Khas, Mohd Yusoff Mamat; Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia, Datuk Azahari Othman dan Timbalan Komander PPM Wilayah Tiga, Superintenden Azmi Ahmad.
Operasi turut melibatkan 161 pegawai dan anggota PDRM serta 21 pegawai Jabatan Perikanan, dengan kekuatan sembilan bot PDRM, tiga bot perikanan dan sebuah helikopter PDRM.
Dalam perkembangan lain, Fisol berkata, PPM memerlukan kekuatan aset seperti bot yang lebih besar dengan kelengkapan komunikasi dalam usaha mempertingkatkan jangkauan operasi dan penguatkuasaan.
"Kita menyahut seruan kerajaan untuk melaksanakan tindakan tegas terhadap nelayan asing ini. Namun kita melihat tiba masanya kerajaan memberikan perhatian serius terhadap keperluan masa kini.
"Dengan bot yang lebih besar kita mampu pergi sehingga melebihi 100 batu nautika dari perairan, dengan lebih jauh dan lebih cepat. Mudah untuk menangkap mereka yang meratah hasil laut negara.
"Namun meskipun dengan kekangan bot, ini tidak bermakna kita tidak berjaya melaksanakan operasi secara besar besaran. Dengan bantuan pelbagai jabatan, tangkapan dan penguatkuasaan yang lebih hebat dapat dijayakan seperti hari ini," katanya.