KULAI - Walaupun berlaku 17 tahun lalu, namun banjir di Gunung Pulai yang mengakibatkan tanah runtuh dan mengorbankan lima nyawa pada malam 26 Disember masih diingati penduduk sehingga ke hari ini.
Kampung Sri Gunung Pulai menjadi destinasi pelancongan utama di Johor kerana keistimewaan air terjun Gunung Pulai yang kaya dengan khazanah alam semula jadi.
Kampung yang terletak di sempadan Kulai dan Pontian ini sering menjadi pilihan penduduk dari Johor Bahru, Kulai, Pontian dan Singapura untuk beriadah.
Bagi orang luar mungkin tragedi yang menggemparkan negara pada penghujung 2001 sudah dilupakan kerana tidak banyak kisah mahupun berita dipaparkan bagi mengenang tragedi yang mengorbankan lima nyawa itu.
4 rumah penduduk musnah
Memetik laporan Utusan Malaysia, Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad ketika itu menyifatkan tragedi itu sebagai sangat dahsyat di mana beliau tidak pernah menyaksikan kesan banjir sebegitu.
Katanya, laporan akhbar mengenai bencana yang menghanyutkan dan memusnahkan empat rumah penduduk di Kampung Sri Gunung Pulai di tebing Sungai Air Hitam di kaki Gunung Pulai, tidak menggambarkan kesan dahsyat sebenar.
Mahathir yang menyaksikan timbunan kayu-kayu balak setinggi 25 meter di tepi jambatan merentangi sungai di situ berkata, kesan buruk banjir itu jauh lebih teruk daripada apa yang beliau jangkakan sebelum ini.
Umpama empangan pecah
Usaha Sinar Harian mendekati penduduk Kampung Sri Gunung Pulai untuk mengetahui lebih lanjut kisah mangsa tragedi itu pada mulanya tidak berhasil kerana mereka tidak mahu ceritakan kisah yang pernah dilalui.
Bagaimanapun dengan bantuan Pengerusi Koperasi Sri Sekawan Kulaijajaya Berhad, Jamalludin Abdul Hamid, mangsa tragedi dapat didekati.
Rahmat Abd Wahid, 57, merupakan mangsa tragedi yang kehilangan isteri serta tiga anak termasuk bayi berusia lapan bulan.
Menurut Rahmat, tidak banyak dapat diingati kerana beliau trauma.
Beliau tidak menyangka bencana alam yang begitu dahsyat akan berlaku memandangkan tiada isyarat berlaku banjir mahupun tanah runtuh sebelum itu.
Katanya, tidak pernah berlaku kejadian bencana alam yang teruk di Kampung Sri Gunung Pulai sebelum tragedi itu.
"Hujan renyai berterusan selama tiga hari sebelum kejadian pada malam Khamis. Hati saya mula rasa tidak sedap bila tengok hujan tidak berhenti.
"Saya sempat keluar tengok apa yang berlaku di luar rumah sebelum kejadian, nampak elok sahaja keadaan waktu itu. Anak-anak tidur waktu itu,” katanya.
Katanya, sebelum kejadian dia berada di rumah bersama isteri Salina Abas, 28, dan empat anaknya iaitu Nur Aida 9, Nur Diana 4, Mohd Aidil, 2 dan Nurin 8 bulan.
Manakala anak sulung yang merupakan pasangan kembar, Mohd Amirul dan Mohd Amri, 13, berada di rumah datuk mereka di Kampung Melayu Raya Pekan Nanas, Pontian.
Rahmat berkata, kejadian itu berlaku sekelip mata di mana rumahnya dipenuhi lumpur.
"Saya tidak ingat apa yang berlaku lepas itu. Kejadian berlaku sekelip mata. Tahu-tahu keadaan jadi senyap sepi.
"Saya nampak lumpur begitu banyak umpama empangan pecah,” katanya.
Jiran Rahmat, Mohd Sajali Sukinon yang tinggal di kawasan lebih tinggi meminta bantuan selepas melihat rumah Rahmat sudah tiada akibat dibawa lumpur.
Akibat dari kejadian itu, Rahmat kehilangan isteri serta tiga anaknya iaitu Nur Diana, Mohd Aidil dan Nurin.
26 Disember memilukan
Tanggal 26 Disember tidak mungkin dilupakan Rahmat biarpun tragedi yang memilukan sudah berlaku 17 tahun lalu.
Rahmat memberitahu, tarikh 26 Disember turut menyaksikan berlakunya tsunami di Aceh pada 2004.
"Bila tiba tarikh 26 Disember, banyak laporan di akhbar dan televisyen tentang tsunami di Aceh.
"Ketika itu, saya mula terbayang kejadian 17 tahun lalu. Bila diingat semula saya rasa trauma,” katanya.
Menurut Rahmat, bukan mudah untuk melupakan tragedi 26 Disember itu kerana dia kehilangan isteri dan tiga orang anak termasuk seorang bayi.
"Untuk hilangkan trauma ini, saya ambil masa selama dua tahun. Keluarga, saudara mara, penduduk kampung dan rakan-rakan banyak berikan saya kata-kata semangat.
"Malah ramai juga yang hulurkan sumbangan untuk saya teruskan kehidupan selepas rumah yang didiami lenyap dalam kejadian banjir dan tanah runtuh,” katanya.
Katanya, anaknya Nur Aida yang selamat dalam kejadian itu kini sudah berusia 26 tahun manakala anak sulung yang merupakan pasangan kembar Mohd Amirul dan Mohd Amri kini sudah berusia 30 tahun.
Rahmat kini membuka menjalankan perniagaan kedai makan di kaki Gunung Pulai selain turut membuka kedai runcit yang diusahakan secara kecil-kecilan sejak dua tahun lalu.