CARACAS - Presiden Venezuela, Nicolas Maduro mendakwa beliau mempunyai bukti Penasihat Keselamatan Negara Amerika Syarikat (AS), John Bolton adalah dalang utama plot cubaan bunuh pemimpin itu.
Pada Ogos tahun lalu, dua buah dron yang dipasang dengan bahan peledak C4 meletup semasa perarakan tentera dihadiri Maduro di Caracas.
Maduro terselamat tetapi tujuh anggota tenteranya mengalami kecederaan.
Beliau menuduh serangan itu didalangi pembangkang sayap kanan Venezuela serta kerajaan AS dan Colombia.
"Setahun sudah berlalu sejak cubaan bunuh di Caracas. Saya boleh katakan bahawa hari ini saya mempunyai bukti bagi membuktikan serangan itu dilancarkan atas arahan John Bolton dari Rumah Putih.
"Segala-galanya terarah kepada Bolton yang mempunyai pemikiran seorang pembunuh," ujar Maduro.
Tambah Maduro lagi, buat masa sekarang beliau tidak boleh menuduh Presiden Donald Trump tetapi mempunyai alasan kukuh supaya siasatan dijalankan ke atas Bolton.
Pada Disember lalu, Maduro menuduh Bolton merancang rampasan kuasa di Venezuela sekali gus membunuhnya.
Venezuela mengalami krisis politik yang semakin memuncak sejak Januari lalu apabila pemimpin pembangkang yang disokong AS, Juan Guaido mengisytiharkan dirinya sebagai Presiden baharu negara Amerika Selatan itu.
Rusia, Turki dan China pula menganggap kerajaan Venezuela ditubuhkan secara sah dan menyifatkan campur tangan asing dalam hal ehwal dalaman negara itu sebagai pencabulan serius ke atas undang-undang antarabangsa. - Agensi