SHAH ALAM - Majlis Perubatan Malaysia (MPM) tidak akan berkompromi dalam menyiasat aduan salah laku berkaitan doktor perubatan tidak kira sama ada di sektor awam, universiti, swasta mahupun di badan bukan kerajaan (NGO).
Presidennya, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, mana-mana kegiatan jenayah dan sindiket berkaitan salah laku jenayah penipuan dan pemalsuan perlulah dilaporkan bagi disiasat pihak berwajib misalnya Polis Diraja Malaysia dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.
Menurutnya, aduan juga boleh dikemukakan kepada pihak MPM bagi menyiasat salah laku Pegawai Perubatan Berdaftar dari aspek tata etika dan profesionalisme seorang doktor perubatan.
"Apabila MPM menerima sebarang aduan daripada pengadu bernama mengenai salah laku tata etika dan profesionalisme mana-mana Pegawai Perubatan Berdaftar, aduan ini akan disiasat mengikut Akta Perubatan 1971 dan Peraturan-peraturannya, serta akan melalui suatu proses inkuiri yang telah ditetapkan oleh Peraturan Perubatan 1974 dan Pindaan 2017.
"Antara tatacara yang sangat penting dalam proses inkuiri ini adalah pembuktian mana-mana dakwaan yang dibuat oleh pengadu atau pelapor bernama tersebut. Ini kerana setiap pengadilan adalah berlandaskan pembuktian kepada salah laku yang dilaporkan.
"Pihak yang mempunyai bukti adalah dipohon mengemukakannya kepada pihak MPM kerana ini akan membantu MPM untuk menyiasat secara lebih menyeluruh dan terperinci aduan yang dikemukakan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ia susulan pendedahan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) mengesan kegiatan rangkaian sindiket membabitkan doktor dan pakar kesihatan yang menjual laporan perubatan untuk memastikan tuntutan pampasan difailkan pencarum mendapat kelulusan mudah.
Dr Noor Hisham berkata, MPM memberi jaminan tidak akan berkompromi berhubung perkara tersebut selaras dengan fungsi MPM iaitu untuk membimbing doktor-doktor dan menjaga keselamatan serta kesejahteraan pesakit.
"Mana-mana pihak yang mempunyai sebarang isu mengenai Pegawai Perubatan Berdaftar yang tidak beretika bolehlah menyalurkan aduan mereka kepada pihak Sekretariat MPM.
Untuk maklumat lanjut, layari http://mmc.moh.gov.my/index.php/information/ethics-complaint-ethical," katanya.