SEREMBAN - Polis sudah mengambil keterangan 20 saksi bagi membantu siasatan kes kehilangan remaja perempuan warga Ireland, Nora Anne Quoirin, 15, yang hilang di sebuah resort di Pantai di sini, sejak Ahad lalu.
Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, Senior Asisten Komisioner Che Zakaria Othman berkata, siasatan dibuat secara menyeluruh termasuk dakwaan oleh keluarga mangsa yang anak mereka diculik.
"Walaupun kes ini secara rasmi disiasat sebagai kes orang hilang, tetapi kami melakukan siasatan secara menyeluruh dan tidak mahu menolak sebarang kemungkinan.
"Pasukan dari Bahagian Siasatan Jenayah (CID) turut berada di sini. Keterangan diambil dari keluarga, pekerja resort dan penduduk sekitar ada yang tampil secara sukarela berkongsi maklumat," katanya pada sidang media di Balai Polis Pantai di sini, hari ini.
Menurutnya, beberapa kesan cap jari di bilik penginapan warga Ireland itu termasuk pada tingkap yang didakwa terbuka semasa gadis itu disedari hilang oleh ahli keluarganya turut diperolehi.
Bagaimanapun katanya, polis tidak boleh mendedahkan secara terperinci mengenai perkara itu kerana ia masih dalam siasatan.
"Sehingga kini, kita masih belum dapat mengesan mangsa. Usaha pencarian mangsa dari empat kilometer telah diperluaskan kepada enam kilometer dari resort.
"Namun kita percaya, mangsa masih berada di kawasan sekitar. Ada banyak sumber air di kawasan sekitar yang membolehkan mangsa bertahan. Tapi saya tidak pasti sampai bila kerana bergantung kepada imunisasi badannya," katanya.
Pada masa sama, polis juga turut menyiasat rekod kemasukan mangsa dan keluarganya ke negara ini dengan Jabatan Imigresen.
Ketika diminta mengulas mengenai dakwaan keluarga mangsa mengenai anaknya diculik, Che Zakaria berkata, berkemungkinan disebabkan faktor emosi kerana kehilangan anak.
"Kalau kita berada di tempat mereka juga, mungkin kita juga begitu.
"Dari semasa ke semasa kita berjumpa dengan keluarga dan mereka beri kerjasama sebaiknya," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: 72 jam berlalu, Nora Anne masih belum ditemui
Terdahulu, Nora Anne yang mengalami masalah pembelajaran itu tiba bersama ibu bapanya dari London pada Sabtu lalu untuk percutian dua minggu, sebelum dilaporkan hilang pada Ahad lepas.
Remaja berkenaan disedari hilang dari bilik penginapannya di sebuah resort di sini oleh keluarganya pada pukul 8 pagi.
Hari ini, polis menambah kekuatan anggotanya kepada 206 orang dalam operasi hari ke empat mencari dan menyelamat (SAR) yang bermula seawal jam 7 pagi dengan dibantu enam anjing pengesan dari Unit Anjing Pengesan (K9) terbabit.