PENGACARA dan pelakon, Noor Neelofa Mohd Noor mendedahkan perjalanannya untuk menunaikan ibadah haji bersama beberapa jemaah lain tergendala dua hari akibat masalah visa.
Neelofa bersama ibu dan adiknya sepatutnya berlepas ke Tanah Suci Makkah pada 4 Ogos lalu bagi menunaikan rukun Islam kelima itu.
Menerusi penjelasan di Insta Stories miliknya semalam dan hari ini, masalah itu akhirnya dapat diselesaikan dan mereka dijangka berlepas ke sana esok.
"Mungkin ramai yang belum tahu yang saya dan ramai jemaah lain tak dapat berangkat ke Jeddah dua malam lepas atas masalah visa.
"Alhamdulillah setelah hampir dua hari, akhirnya masalah visa diselesaikan dan Insya-Allah akan ke Makkah esok," tulisnya.
Malah selebriti berusia 30 tahun itu turut mengingatkan jemaah haji agar berhati-hati memilih pengendali perjalanan untuk menunaikan haji bagi mengelakkan masalah yang tidak dijangka.
"Disebabkan ia proses yang merumitkan, jadi kami perlu benar-benar memahami setiap proses dengan bantuan informasi daripada orang lain," jelasnya.
Tambahnya, masalah itu akhirnya dapat diselesaikan dan dia turut mengucapkan terima kasih kepada banyak pihak termasuk rakan selebriti, Zizan Razak yang mencadangkan saluran yang betul bagi mendapatkan bantuan.