Agong rasmi Pusat Hemodialisis YASA

Iklan
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bersama Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan merasmikan Pusat Haemodialisis Yayasan Al-Sultan Abdullah (YASA) di Wisma Denai hari ini. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Prihatin terhadap nasib rakyat yang tidak berkemampuan untuk mendapatkan rawatan hemodialisis, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menubuhkan pusat hemodialisis Yayasan Al-Sultan Abdullah (YASA) di Cheras.

Pusat rawatan itu diwujudkan di bawah tajaan YASA, yang merupakan yayasan amal bukan berasaskan keuntungan yang ditubuhkan Sultan Abdullah bersama Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, dan anakanda-anakanda Seri Paduka berdua.

Iklan
Iklan

"Saya terpanggil untuk menubuhkan pusat ini selepas membaca dalam akhbar bahawa pesakit yang memerlukan rawatan ini begitu ramai iaitu mencecah 7,000 kes baharu setahun, sehingga kerajaan tidak cukup untuk membantu semata-mata.

"Saya juga tahu banyak pesakit mengalami masalah kewangan dan terbeban dengan kos rawatan yang tinggi, jadi saya wujudkan pusat ini untuk ringankan beban mereka,” titah Seri Paduka selepas berkenan merasmikan Pusat Hemodialisis YASA di Cheras hari ini yang turut dihadiri, Tunku Azizah.

Iklan

Seri Paduka juga berharap dapat memperluaskan penubuhan pusat hemodialisis itu ke kawasan luar bandar dan menumpukan kepada rakyat daripada golongan B40 dan M40.

Selain itu, Sultan Abdullah turut berharap lebih banyak pihak swasta terlibat dan tampil membantu golongan ini dalam mendapatkan rawatan hemodialisis.

Iklan

"Ini pusat pertama bawah tajaan saya. Kita cadang hendak buka dua atau tiga pusat setahun, dengan menilai kawasan dan kos dan saya harap lebih ramai pihak libatkan diri dalam usaha ini dan anggapnya sebagai satu fardu kifayah dan usaha murni,” titah Sultan Abdullah.

Yang di-Pertuan Agong turut bertitah supaya lebih ramai pakar Nefrologi dilahirkan di negara ini bagi memenuhi keperluan pesakit yang semakin meningkat.

"Saya dimaklumkan negara kita kekurangan pakar Nefrologi di mana statistik yang diperlukan ialah 20 pakar bagi satu juta rakyat.

"Bagaimanapun, negara ketika ini hanya ada 5.7 pakar bagai sejuta rakyat, jadi mungkin pelajar perubatan boleh tumpu ke arah ini,” titah Seri Paduka.

Pusat Hemodialisis YASA dimiliki sepenuhnya oleh YASA yang sebelum ini dikenali sebagai Yayasan Istana Abdul Aziz dan diuruskan oleh pengendali hemodialisis berlesen, Sinar Hemodialysis Sdn Bhd yang mempunyai lebih 12 tahun pengalaman.

Pusat yang menempatkan lapan ruang dialisis itu akan beroperasi pada Isnin hingga Sabtu dari jam 8 pagi hingga 5 petang. - Bernama