KUANTAN – Jabatan Alam Sekitar (JAS) meluaskan siasatan bagi mencari dalang yang bertanggungjawab terhadap 15 tong berisi bahan kimia sodium sianida yang ditemui di ladang kelapa sawit di Karak, Bentong, Khamis lalu.
Pengarahnya, Mat Sani Mat Daud berkata, siasatan diteruskan ke lokasi perlombongan di luar kawasan penemuan termasuk ke daerah-daerah lain di negeri ini.
"JAS akan kesan dalang yang bertanggungjawab terhadap bahan-bahan itu. Ia adalah bahan mentah bukan toksik dan bukan bahan buangan terjadual. Bahkan harganya sangat bernilai.
"Keadaan penyimpanannya jika terdedah sebegitu boleh mengakibatkan bahaya. Justeru kami akan kesan dalangnya seberapa segera," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Bengkel Mengkaji Semula dan Latihan Praktikal Pelan Tindakan Pembersihan Pantai Negeri Pahang di Indera Mahkota di sini hari ini.
Menurutnya, JAS terlibat dalam proses pemindahan bahan kimia tersebut yang dilaksanakan oleh kontraktor yang mempunyai kepakaran dalam bidang itu.
"Dengan pemindahan tersebut maka lokasi penemuan disahkan selamat dan orang ramai tidak perlu bimbang dengan bahaya gas hidrogen sianida," katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau mengesahkan terdapat dua kes tumpahan minyak direkodkan di perairan negeri Pahang tahun ini iaitu di Pekan dan Tioman.
"Tumpahan minyak itu berjaya dibersihkan dalam tempoh 24 jam.
"Tiada tumpahan yang menjejaskan pulau- pulau dan pantai rekreasi, di negeri ini," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Lapan anggota polis loya, muntah selepas terhidu bahan kimia