Santuari kelah di kaki gua

Iklan
Hanya bermula dengan hobi, kini santuari kelah milik Mohd Saiful Basri bakal dikomersialkan untuk tarikan pelancong.

GUA MUSANG - Mungkin ramai yang tidak tahu di Kampung Lepan Jaya, di sini terdapat santuari kelah yang terletak di kaki gua.

Lebih unik, salah satu kolam ikan diusahakan Mohd Saiful Basri Mat Yaakob, 44, berada di dalam gua dan pengunjung boleh menaiki bot atau perahu untuk melihat panorama indah di situ.

Iklan
Iklan

Mohd Saiful Basri berkata, semuanya bermula sekadar hobi, kini dia memiliki santuari kelah dan empat kolam ternakan ikan yang mempunyai lebih 4,000 kelah, tilapia dan rohu.

Menurutnya, lima kolam yang dibina lebih 10 tahun dan mengambil masa empat tahun untuk siap itu melibatkan kos hampir RM90,000.

Iklan

"Saya sekolah sampai darjah dua sahaja kerana keluarga orang susah, tidak mampu nak bersekolah. Selepas berhenti sekolah, saya kerja macam-macam dari kecil lagi termasuk di hutan sebagai penebang balak.

Mohd Saiful Basri bersama Sazmi meninjau santuari kelah yang bakal dikomersialkan untuk tarikan pelancong ke daerah ini.

"Saya membina kolam ikan ini pada awal 2005 dan saya menyiapkannya dengan lima kolam termasuk santuari yang dibina khas untuk pengunjung melihat ikan,” katanya selepas menerima lawatan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar).

Iklan

Saiful berkata, sebelum kolam di kaki gua dibina, dia pernah membuat kolam ikan kelah di dalam bukit pada 1999 dan menternak 6,000 ekor kelah sebelum kolam itu pecah.

"Bukan rezeki saya apabila kolam pecah dan saya kerugian besar iaitu hampir setengah juta. Selepas itu, barulah saya bina kolam di sini (Lepan Jaya) dan alhamdulillah ALLAH SWT permudahkan

"Ikan yang paling mahal saya jual adalah seberat enam kilogram iaitu berharga RM6,000. Untuk kelah biasa, saya jual dengan harga RM250 sekilo,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Kesedar, Datuk Sazmi Miah berkata, santuari kelah itu berpotensi untuk dikomersialkan setanding santuari di Tasik Kenyir.

"Kesedar akan meneliti bentuk bantuan yang diperlukan bagi memperkenalkan santuari ini secara lebih meluas sekali gus meningkatkan sumber pendapatan usahawan," katanya.

Sazmi (tiga dari kanan) memberi makan ikan ketika lawatannya ke santuari Kampung Lepan Jaya.