IPOH - Setiap peniaga bumiputera khususnya peniaga Melayu perlu mengetahui kepentingan pengurusan kewangan demi menjamin survival dalam bidang perniagaan masing-masing.
Presiden Dewan Perhimpunan Melayu Perak (DPMP) Datuk Zahar Hashim berkata, perkara berkenaan dilihat sebagai kelemahan paling ketara dalam kalangan peniaga Melayu hari ini.
Iklan
Iklan
Menurutnya, banyak perniagaan milik peniaga Melayu yang gagal bertahan bagi satu tempoh yang lama.
"80 peratus kegagalan peniaga Melayu adalah akibat pengurusan kewangan yang lemah. Pengurusan kewangan adalah perkara penting dalam sesebuah perniagaan, tetapi bila ia melibatkan istilah matematik ramai peniaga yang tidak mahu terlibat.
"Perkara ini perlu diberikan perhatian utama oleh peniaga Melayu," katanya pada program Online Digital Revolusi Teknik My Ads & Pelancaran Kimon.my di sini semalam.
Sementara itu Zahar berkata, pihaknya akan cuba sedaya upaya untuk membantu melahirkan usahawan yang berilmu pada masa hadapan.
"Ini selaras dengan matlamat penubuhan DPMP iaitu memberikan tumpuan dalam soal pendidikan dan ekonomi dalam kalangan peniaga Melayu," katanya.