Penduduk Janda Baik bantah RKK

Iklan
Sebahagian penduduk berkumpul membantah RKK Janda Baik di sini semalam.

BENTONG - Penduduk Janda Baik membantah draf Rancangan Khas Kawasan (RKK) dalam usaha mengubah kampung tradisional itu kepada produk eko pelancongan bertaraf antarabangsa.

Wakil penduduk Janda Baik, Hanifah Mohd Rabin, 52, berkata, sebanyak 1,544 borang cadangan dan bantahan awam oleh penduduk telah dikemukakan kepada Majlis Perbandaran Bentong hari ini.

Iklan
Iklan
Hanifah

Menurutnya, draf RKK itu dilihat tidak memihak kepada penduduk yang kemungkinan besar bakal hilang penempatan selepas pewartaan jalan dan rizab sungai dilakukan.

"Penduduk semakin dihimpit dengan pembangunan, sementara RKK pula tidak dimaklumkan kepada penduduk terlebih dahulu, hanya diketahui pada Oktober 2018 sebelum cadangan tambah baik dikemukakan.

Iklan
Jika rizab sungai 60 meter diteruskan, banyak struktur dan rumah penduduk akan terjejas serta dirobohkan.

"Penduduk bimbang pelaksanaan RKK ini akan berlakunya pengambil alihan hak milik, perobohan rumah bagi tujuan pelebaran jalan dan rizab sungai dan termansuhnya Janda Baik sebagai kampung tradisional," katanya pada sidang media bantah RKK Janda Baik di sini semalam.

Katanya, penduduk akan terus membantah kandungan RKK itu sehingga pelaksanaannya dikaji semula.

Iklan

Penduduk, Laila Husin, 64, yang merupakan anak jati Janda Baik dan menetap di rumah pusaka orang tuanya tidak setuju kampung itu dibangunkan menjadi bandar.

Laila

"Kalau ada pembangunan yang sesuai dengan status kampung alhamdulillah, tapi kalau nak rosakkan kampung ini, mak cik bantah.

"Mak cik tak mahu kampung ini jadi bandar kemudian kami dipindahkan ke rumah pangsapuri. Biarlah duduk di rumah buruk ini janji hati tenang dan aman, kalau boleh nak mati di sini," katanya.

Pengusaha restoran, Rosmina Kamarul Ariffin, 46, berkata, dia tidak menghalang pembangunan namun jika sehingga menjejaskan penduduk maka penduduk berhak membantah.

Rosmina

"Saya dan suami memilih pulang ke kampung kerana mahukan suasana kampung, orang luar datang ke sini pun sebab mahukan kelainan keluar dari kesibukan kota.

"Harap pihak berwajib dengar rayuan kami jika nak bangunkan maka betulkan jalan dan cantikkan sungai sahaja, tak perlu sampai gazet yang hanya akan menjejaskan penduduk pada masa akan datang.

"Saya akan pertahankan Janda Baik. Orang dulu-dulu bersusah payah bangunkan Janda Baik, takkan kita nak tengok sahaja, akan lawan untuk generasi akan datang," katanya.

Ashari

Pengusaha resort, Ashari Shuib, 57 memohon kawasan hijau di kawasan itu dikekalkan dan konsep kampung dikekalkan.

"Jika orang nak kawasan moden mereka boleh pergi ke Langkawi atau Kuala Lumpur, tapi pelancong ke sini kerana suasana kampung, jangan rosakkan alam semula jadi di sini," katanya.