BUKIT MERTAJAM - Operasi penguatkuasaan yang dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia Pulau Pinang sering menghadapi kesulitan apabila pergerakan penguat kuasanya sering dihidu kumpulan tonto diupah majikan atau peniaga yang menggajikan warga asing tanpa izin di negeri ini.
Tonto berkenaan bukan sahaja mengekori malah memantau segala gerak-geri anggota penguat kuasa Pulau Pinang dengan menyalurkan maklumat menggunakan walkie-talkie kepada individu tertentu yang berkepentingan.
Pengarah Jabatan Imigresen Pulau Pinang, Muhamad Husni Mahmud berkata, tindakan tonto itu tidak mematahkan semangat anggotanya untuk terus menjalankan operasi menahan warga asing yang melakukan kesalahan imigresen.
"Kami melakukan pelbagai strategi dan taktik bagi mengaburi tonto untuk mengekori penguat kuasa imigresen kerana boleh dikatakan setiap hari mereka akan menunggu di hadapan pejabat JIM di Seberang Jaya untuk menyalurkan maklumat kepada pihak-pihak berkenaan.
"Saya tidak boleh dedahkan taktik penguat kuasa kami tapi saya nak maklumkan kepada semua tonto berkenaan bahawa JIM Pulau Pinang tidak gentar malah lebih bersemangat lagi untuk menjalankan operasi dalam membanteras warga asing tanpa izin di negeri ini," katanya baru-baru ini.
Menurutnya, bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini, pihaknya menjalankan operasi sekurang-kurangnya empat serbuan untuk menahan warga asing yang melakukan kesalahan setiap hari atau 790 operasi berbanding 681 operasi bagi tempoh sama tahun lalu.
"Antara Januari dan Jun tahun ini, kita menerima sebanyak 518 aduan berhubung kesalahan Imigresen Pulau Pinang di negeri ini. Seramai 145 majikan turut dikenakan tindakan kerana menggaji warga asing tersebut.
"Sepanjang enam bulan pertama tahun ini, seramai 1,556 warga asing ditahan kerana pelbagai kesalahan imigresen berbanding 1,446 orang yang ditahan bagi tempoh yang sama tahun lalu," katanya.
Menurutnya jumlah warga asing yang ditahan bagi enam bulan pertama tahun ini meningkat berikutan operasi berterusan dan lebih intensif yang dijalankan jabatan itu.
"Daripada jumlah yang ditahan warga Bangladesh paling ramai iaitu 531 orang, Indonesia (346), Myanmar (331), Thailand (126), Vietnam (126) dan pelbagai negara lagi," katanya.
Muhamad Husni berkata, seramai 1,024 warga asing ditahan kerana kesalahan tiada memiliki permit atau dokumen perjalanan diri, 383 orang lagi tinggal melebihi masa dibenarkan dan yang selebihnya melibatkan pelbagai kesalahan lain menurut Akta Imigresen.
"Selain faktor gaji tinggi dan peluang pekerjaan yang banyak di Pulau Pinang menjadi tarikan warga asing untuk bekerja di negeri ini, siasatan mendapati warga asing ini memilih negeri ini kerana keadaan persekitarannya yang aman damai.
"Kebanyakan warga asing ini memilih bekerja di Pulau Pinang berikutan keadaan negeri ini malah mereka juga mempunyai anggota keluarga atau kenalan yang lebih awal datang ke negeri ini untuk bekerja jadi warga asing berkenaan dapat menumpang bersama mereka," katanya.
Sementara itu, menurutnya, seramai 2,034 warga asing dari pelbagai negara diusir bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini selepas selesai menjalani hukuman.
"Kami akan meneruskan operasi dari semasa ke semasa dalam usaha membanteras kehadiran warga asing bagi memastikan mereka mematuhi undang-undang negara kita," katanya. - Bernama