GUA MUSANG - Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) mengenal pasti usahawan berjaya di daerah ini untuk dibantu bagi memperluaskan lagi empayar perusahaan mereka.
Pengerusinya, Datuk Sazmi Miah berkata, ini adalah salah satu inisiatif bagi memberi peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat di daerah ini.
Menurutnya, dengan adanya peluang pekerjaan, ia dapat mengurangkan kadar penghijrahan masyarakat setempat terutamanya golongan belia ke ibu kota mahupun ke negeri-negeri lain.
"Kita akan bantu usahawan yang telah berjaya agar mereka dapat membantu orang lain sekali gus melahirkan usahawan baharu.
"Antara bantuan yang akan disalurkan mengikut keperluan merangkumi bantuan pemasaran, penjenamaan dan juga fasiliti bagi meningkatkan pendapatan.
"Kita berhasrat untuk menjadikan Gua Musang sebagai lubuk pekerjaan dan tidak mustahil ia mampu menarik minat masyarakat termasuk dari daerah lain untuk datang ke sini bagi meningkatkan ekonomi setempat," katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke ladang ayam terbesar milik bumiputera, Lepan Jaya Farm Sdn Bhd di Kampung Lepan Jaya di sini.
Turut hadir Pengarah Urusan Lepan Jaya Farm Sdn Bhd, Kamarul Azli Mat Ali yang mewarisi perniagaan arwah bapanya, Mat Ali Enterprise (MAE) dalam perniagaan ternakan ayam.
Sementara itu, Kamarul Azli berkata, selain Gua Musang dan Kelantan dia juga turut memenuhi pasaran di negeri pantai timur.
"Sehingga kini kami memiliki sembilan ladang ayam di sekitar kawasan Lepan Jaya dan setiap hari lebih 10,000 ekor ayam yang dibekalkan untuk pasaran.
"Insya-ALLAH dengan bantuan agensi kerajaan seperti Kesedar mungkin pasaran saya mampu menembusi tembok pasaran ke seluruh Malaysia," katanya.