Nasib pekebun kecil perlu dibela

Iklan
Laporan Sinar Harian Selasa lalu.

KUALA LUMPUR - Keputusan Menteri Industri Utama, Teresa Kok untuk tidak meneruskan skim bantuan penanaman semula disifatkan sebagai keputusan yang kejam.

Presiden Gerakan Rakyat, Datuk Dr Dominic Lau berkata, keputusan tersebut dilihat tidak memikirkan nasib dan masa depan pekebun kecil sekali gus menunjukkan kementerian langsung tidak sensitif permasalahan dihadapi kumpulan itu.

Iklan
Iklan

"Hampir 650,000 pekebun kecil di negara bakal gulung tikar kerana tidak mampu untuk meneruskan kebun dan ladang mereka.

"Tindakan kerajaan menghentikan semua skim bantuan untuk pekebun kecil merupakan satu penganiayaan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Iklan

Dominic berkata, majoriti pekebun kecil terdiri daripada golongan warga emas yang tidak mempunyai pendapatan tetap selain bergantung pada hasil tanaman diusahakannya.

Katanya, tindakan menghentikan bantuan penanaman semula sebenarnya menekan kehidupan golongan pekebun terus melarat sejak harga sawit merudum teruk tahun lalu.

Iklan

"Tindakan kerajaan menghentikan bantuan Skim Tanam Semula Sawit Pekebun Kecil (TSSPK) bukanlah satu cadangan yang baik untuk meningkatkan ekonomi negara sebaliknya dilihat sebagai satu usaha menghentikan perusahaan tanaman sawit pada masa akan datang.

"Keputusan ini adalah tidak adil dan ia harus dikaji semula demi kesinambungan hidup pekebun kecil yang rata-ratanya adalah dalam kalangan orang yang kurang berkemampuan," katanya.

Selain itu, menurutnya, pembatalan skim itu akan memberi kesan terhadap sosioekonomi negara kerana pendapatan negara juga bergantung pada hasil tanaman yang diusahakan pekebun kecil.

"Oleh itu, kerajaan sebenarnya harus memikirkan cara terbaik untuk membantu pekebun kecil bukan menekan kehidupan pekebun kecil dengan menghentikan skim bantuan tanaman semula dengan alasan tidak munasabah.

"Sebagai menteri yang diamanahkan untuk meningkatkan pendapatan industri dalam negara, Teresa sepatutnya memikirkan cara terbaik untuk meningkatkan semula industri tanaman kelapa sawit," katanya.

Dominic berkata, ia bukannya ambil langkah mudah dengan membatalkan skim itu tanpa memikirkan nasib pekebun kecil yang rata-ratanya Bumiputera.

Isnin lalu, Teresa berkata, kerajaan tidak akan melaksanakan kembali skim bantuan penanaman semula kepada pekebun kecil di negara ini kerana mahu bersikap adil kepada semua pihak.

Walaupun sedar ramai pekebun kecil persendirian merayu supaya skim tersebut diperkenalkan semula, Teresa menyifatkan skim itu hanya memberikan kelebihan kepada satu pihak sebelum ini dan tidak membabitkan keseluruhan termasuk pekebun tersusun di Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dan Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra).