PUTRAJAYA - Lima negara ASEAN - Brunei Darussalam, Indonesia, Malaysia, Singapura dan Thailand, berikrar untuk sama berwaspada, memantau dan meningkatkan langkah-langkah pencegahan bagi meminimakan sebarang kejadian jerebu rentas sempadan semasa cuaca panas dan kering di antara bulan Ogos dan Oktober ini.
Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (Mestecc) dalam satu kenyataan berkata kesepakatan itu dicapai dalam mesyuarat ke-21 Jawatankuasa Pemandu Menteri Sub-Serantau (MSC) Mengenai Pencemaran Jerebu Merentasi Sempadan di Brunei Darussalam, Selasa lepas.
Menurutnya kelima-lima negara juga bersetuju meningkatkan kerjasama menangani pencemaran jerebu merentas sempadan secara berkesan melalui pelaksanaan Pelan Tindakan Jerebu Merentas Sempadan.
"MSC juga bersetuju meningkatkan koordinasi serantau melalui pelaksanaan projek-projek kerjasama antarabangsa melibatkan program menangani jerebu rentas sempadan, pelaksanaan pengurusan hutan secara berkekalan dan konservasi kawasan tanah gambut," menurutnya di sini hari ni.
Selain itu Mestecc berkata negara-negara anggota MSC turut mengesahkan kesediaan mereka untuk memberi bantuan teknikal berupa peralatan dan sumber tenaga manusia apabila diperlukan oleh negara ahli sekiranya berlaku kebakaran hutan berskala besar yang menyebabkan jerebu rentas sempadan.
Menurut Mestecc, MSC juga mengulangi komitmen untuk mencapai objektif dan prinsip Perjanjian ASEAN mengenai Pencemaran Jerebu Merentas Sempadan bagi mencapai sasaran ‘ASEAN Tanpa Jerebu’ menjelang 2020, di samping meneruskan program-program pembangunan kapasiti dan latihan dalam kalangan negara anggota dalam menangani jerebu rentas sempadan.
Dalam pada itu, katanya mesyuarat itu juga membincangkan antaranya laporan keadaan cuaca semasa di rantau ASEAN.
"ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) yang berpusat di Singapura telah melaporkan bahawa rantau ASEAN dijangka mengalami keadaan cuaca yang neutral tanpa El Nino atau La Nina pada bulan Ogos hingga Oktober tahun ini," katanya.
Bagaimanapun katanya selatan rantau ini dijangka mengalami kekurangan taburan hujan terutamanya di Malaysia, Singapura dan Sumatera, Indonesia dengan cuaca yang lebih panas dan kering bagi tempoh Ogos hingga Oktober 2019.
Selain itu, Mestecc berkata kelima-lima negara MSC telah membentangkan tindakan yang diambil dalam menangani kejadian kebakaran dan jerebu di negara masing-masing.
"Secara amnya, kebanyakan kejadian kebakaran di negara ahli MSC adalah berpunca daripada kebakaran hutan dan tanah gambut disebabkan cuaca panas dan kering yang melanda selatan rantau ASEAN," katanya.
Di peringkat domestik, Mestecc berkata Malaysia telah melaksanakan segala usaha antaranya melalui pengaktifan Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka Kebangsaan.
Pada mesyuarat itu, Malaysia diawakili oleh Timbalan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Isnaraissah Munirah Majilis. - Bernama