KOTA KINABALU - Pewujudan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) sejak lapan tahun lepas dapat menangani tipuan bida dalam jabatan dan agensi daripada berleluasa di negara ini.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata antara kejayaan MyCC adalah mengenakan penalti berjumlah RM1.94 juta kepada lapan syarikat yang didapati terbabit dengan aktiviti tipuan bida melalui tender yang ditawarkan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara).
Katanya tipuan bida merupakan satu bentuk pelanggaran yang serius menurut Akta Persaingan 2010 yang berlaku apabila dua atau lebih pembida dalam sesuatu tender bersepakat mengganggu proses persaingan yang adil dan saksama.
"Tipuan bida berlaku dalam banyak bentuk dan banyak berlaku pembida berpakat sesama sendiri dalam tender kerajaan dari segi pakatan dan dari segi harga.
"Ini merugikan kerajaan dari segi kewangan dan masyarakat dari segi kualiti barangan serta perkhidmatan," katanya pada sidang media selepas perasmian Seminar Katakan Tidak Kepada Tipuan Bida anjuran MyCC yang disempurnakan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal di sini, hari ini.
Saifuddin berkata siasatan oleh MyCC bukan sahaja membabitkan kes siasatan berprofil tinggi tetapi juga di peringkat bawah.
"Misalnya bukan sahaja membabitkan Persatuan Pengusaha Air Batu di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur atau Selangor tetapi syarikat penerbangan AirAsia dan MAS kami juga teliti kes kalau ada amalan dalam skop siasatan MyCC," katanya.
Justeru, beliau mahu MyCC menyebarluaskan keburukan amalan tipuan bida kepada masyarakat menerusi program advokasi dengan menganjurkan siri seminar di seluruh negara.
Terdahulu, Mohd Shafie berkata tindakan menangani unsur amalan tipuan bida penting antaranya dalam bekalan barangan keperluan yang hanya menguntungkan pembekal tetapi membebankan pengguna.
Katanya amalan itu perlu ditangani secara baik khususnya menerusi MyCC dalam melindungi pengguna dan mengatasi unsur ekploitasi oleh pembekal. - Bernama