FELCRA perlu laksana rasionalisasi tangani kejatuhan harga minyak sawit

Iklan

KUALA LUMPUR - FELCRA Bhd disaran melakukan rasionalisasi yang progresif untuk mengatasi krisis kejatuhan harga minyak sawit mentah dan mencari potensi baharu berdasarkan prinsip memaksimumkan ekonomi bidangan.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata FELCRA perlu segera melakukan anjakan paradigma melalui penjanaan model baharu perniagaan yang berteraskan perladangan pintar.

Iklan
Iklan

"Purata harga minyak sawit mentah pada 2018 sebanyak RM2,237 per metrik tan, iaitu merosot 20 peratus berbanding purata harga pada 2017 yang bernilai RM2,800 per metrik tan,” katanya dalam ucaptama pada Majlis Silaturrahmi Bersama Warga Felcra hari ini.

Beliau turut menegaskan bayaran agihan keuntungan interim pertama tahun 2019 berjumlah RM27.59 juta kepada 46,922 peserta tidak boleh dijadikan alasan untuk FELCRA dan para peserta berada dalam keadaan selesa.

Iklan

"Sebaliknya, kita perlu merangka strategi baharu yang lebih proaktif untuk mendepani cabaran semasa khususnya kejatuhan harga komoditi,” katanya.

FELCRA turut disaran untuk mula menggarap teknologi baharu seperti Kecerdasan Buatan, Robotik, automasi, dron dan Analisis Data Raya untuk meningkatkan produktiviti.

Iklan

Katanya langkah itu akan mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing dan menangani impak daripada perubahan iklim dan cuaca melampau. - Bernama