Johor sedia hadapi penetapan larangan merokok

Iklan
Larangan merokok berkuatkuasa tahun hadapan

JOHOR BAHRU - Langkah penguatkuasaan penetapan larangan merokok di restoran yang berkuatkuasa 2019 diyakini akan berjalan lancar di negeri ini.

Pengarah Kesihatan Negeri Johor, Dr Selahuddeen Abd Aziz berkata, pihaknya tidak mengalami sebarang masalah berhubung penetapan itu memandangkan ia bukanlah perkara baharu tetapi sekadar diperluaskan sahaja.

Iklan
Iklan

"Kita dah mulakan persediaan awal sejak dua minggu lalu. Di peringkat awal ini kita lakukan kempen kesedaran dahulu bagi memberi ingatan kepada perokok-perokok ini.

"Sebenarnya penetapan ini tiada masalah, ia hanya diperluaskan sahaja jadi untuk proses penguatkuasa kita bersedia," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, di sini, hari ini.

Iklan

Jelasnya, pihaknya juga sudah maklum dan memohon kerjasama daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) berhubung arahan ini.

"Setakat ini semua berjalan lancar dengan jumlah anggota yang cukup untuk proses penguatkuasaan di seluruh negeri.

Iklan

"Kita ada kakitangan di setiap daerah. Setiap daerah berbeza, secara keseluruhan kita ada 360 penolong pegawai persekitaran dan kesihatan yang akan ditugaskan untuk kerja ini," katanya.

Mengulas lanjut mengenai pelaksanaan larangan merokok itu, pihaknya melihat ia sebagai saranan terbaik kepada kesejahteraan masyarakat selain mengatasi perokok baharu.

"Kita sedia maklum, tabiat ini memang tiada manfaat atau kebaikan. Bukan untuk diri mereka sahaja, tetapi orang sekeliling. Secara tidak langsung, ia juga membantu mengurangkan perokok-perokok baharu.

"Selain itu, ia memberi impak pada aspek kebersihan juga, mungkin lepas ini kita boleh tengok lantai restoran bersih, memandangkan sebelum ini ada segelintir perokok sesuka hati membuat puntung dan kotak merokok merata-rata," katanya.