LUMUT - Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) negeri Perak berjaya menahan tiga bot nelayan termasuk dua bot nelayan asing dari Indonesia sewaktu mengadakan rondaan penguatkuasaan Ops Sayong, di sini semalam.
Timbalan Pengarah Operasi APMM negeri Perak, Komander Maritim Shahrizan Raman berkata, tangkapan pertama merupakan bot nelayan asing dari Indonesia ditahan oleh bot peronda KM Marlin ketika sedang membuat rondaan penguatkuasaan.
Menurutnya, tangkapan kedua dilakukan pihaknya pada jarak kira-kira 50 batu nautika dari barat daya Pulau Pangkor.
"Hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua bot itu sedang melakukan aktiviti penangkapan ikan dalam perairan Malaysia.
"Bot tersebut itu dinamakan sebagai KM RIZKI dan KM JURINA yang berasal dari Bedagai, Medan dan dikatakan keluar menangkap ikan pada 5 Ogos lalu bersama empat dan lima orang awak-awak berumur dalam lingkungan 18 hingga 48 tahun.
"Kedua-dua bot itu kemudiannya diiring balik ke Pusat Tahanan Vesel Kampong Acheh dan tiba pada jam 2.15 pagi tadi untuk siasatan lanjut," katanya kepada sidang akhbar, di sini hari ini.
Dalam kes berasingan, Shahrizan mendedahkan bot peronda Penggalang 13 turut berjaya menangkap sebuah bot nelayan tempatan kelas B bernombor pendaftaran PKFB 8461 pada jam 10 malam semalam.
Menurutnya, bot Nelayan itu ditahan setelah Pusat Operasi APMM Negeri Perak menerima aduan mengatakan terdapat terdapat bot nelayan melakukan aktiviti menangkap ikan di kawasan larangan.
"Hasil pemeriksaan, bot ditahan kerana menangkap ikan di kawasan larangan di bawah Akta Perikanan 1985.
"Bot terbabit berserta dua awak-awak termasuk tekong yang berusia 14 dan 49 tahun diiring masuk ke Pusat Tahanan Vesel Kampung Acheh untuk siasatan lanjut," katanya.
Shahrizan berkata, kesemua kes akan di siasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan dalam perairan perikanan Malaysia dan menangkap ikan di zon larangan menangkap ikan tanpa kebenaran daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.
"Sungguhpun APMM negeri Perak kini sedang giat membanteras aktiviti Penguasa Perikanan Indonesia yang menangkap bot-bot nelayan tempatan di dalam perairan Malaysia, namun pada masa sama kami tidak mengabaikan operasi mengekang perlanggaran undang-undang berlaku dalam Zon Maritim Malaysia.
"Kami juga meminta orang ramai terus bekerjasama membanteras dengan menyalurkan maklumat bot nelayan yang melanggar syarat lesen menangkap ikan sekaligus menghalang kegiatan mencuri hasil laut di perairan negara," katanya.