IBADAH korban yang dilakukan dapat menangkis jiwa manusia daripada sikap bakhil sekali gus melatih diri supaya sanggup berkorban dan berkongsi nikmat rezeki kurniaan ALLAH SWT demi kepentingan orang lain.
Pendakwah Ustazah Hamidah Ab Razak atau Dai Hamidah berkata, ia sebenarnya merupakan peluang untuk kita bermuhasabah diri menjadi hamba ALLAH yang pemurah dan menggembirakan orang lain.
"Amalan itu juga sebagai tanda kita bersyukur atas segala nikmat yang telah diberikan ALLAH SWT kepada kita," katanya kepada Sinar Islam baru-baru ini.
Firman ALLAH SWT:"Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur)." (Surah al-Kauthar, ayat 2)
Bukan itu sahaja, menurut Dai Hamidah, ibadah korban merupakan manifestasi kepatuhan hamba kepada perintah ALLAH SWT kerana bukan semua orang bersedia untuk memberi atau berkongsi apa yang dimiliki mereka.
"Hanya mereka yang benar-benar bersedia dan menghayati maksud pengorbanan yang sebenar akan dengan rela hati membelanjakan harta untuk tujuan ibadah kerana mereka yakin ganjaran baik daripada amalan itu," ujar beliau.
Disebabkan itu, katanya, umat Islam yang cukup syarat dan berkemampuan digalakkan untuk melakukan ibadah korban kerana ia dapat mendekatkan diri kepada ALLAH SWT.
Menurutnya, banyak fadilat dan ganjaran diberikan kepada mereka yang menunaikan ibadah yang dituntut itu antaranya mendapat tempat yang mulia di sisi ALLAH.
"Ibadah korban juga dapat menghapuskan dosa kita sebelum ini. Semoga ALLAH SWT menerima amal ibadah dan pengorbanan kita semua. Asbab itu mudah-mudahan kita dipilih menjadi hamba ALLAH yang bertakwa," ujar beliau.
Ia sebagaimana hadis Rasulullah SAW:"Hai Fatimah, berdirilah di sisi korbanmu dan saksikanlah ia sesungguhnya titisan darahnya yang pertama itu pengampunan bagimu atas dosa-dosamu yang telah lalu." (Riwayat al-Bazzar dan Ibnu Hibban)
Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia, Dr Mohammad Nidzam Abdul Kadir berkata, amalan korban menjadi asas kepada ketakwaan seseorang.
Mengulas hadis mengenai tunggangan yang akan diterima oleh mereka yang melaksanakan ibadah korban ketika meniti titian Sirat al-Mustaqim pada hari akhirat kelak, beliau menegaskan, hadis itu tidak sahih.
"Dalam kitab hadis, ada diriwayatkan perkara itu. Namun, beberapa ulama hadis menyatakan hadis itu tidak sahih. Ulama fiqh menyebut hadis berkenaan dalam kitab fiqh berkemungkinan sebagai galakan untuk memilih haiwan yang paling elok," jelasnya.
(ARTIKEL BERKAITAN: Korban dekatkan diri dengan ALLAH SWT)