Suri rumah rugi RM15,000 diperdaya Macau Scam

Iklan
Noorzainy

KEPALA BATAS - Seorang suri rumah kerugian RM15,000 selepas terpedaya dengan sindiket Macau Scam di sini semalam.

Mangsa yang berusia 47 tahun dikatakan menerima panggilan telefon daripada Telekom Malaysia yang memberitahu maklumat dirinya digunakan individu lain untuk daftar talian.

Iklan
Iklan

Mangsa kemudiannya disambung ke Ibu Pejabat Polis Kontijen Kuala Lumpur untuk buat laporan polis secara dalam talian sebelum diberitahu mangsa terlibat pula dengan kes dadah dan pengubahan wang haram.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, selepas semak kad pengenalan mangsa dan disahkan terlibat dengan kes berkenaan mangsa kemudian diminta masukkan wang ke akaun bank diberi untuk tujuan siasatan.

Iklan

"Mangsa yang terpedaya dan takut selepas dimaklumkan akan ditangkap kerana kononnya mangsa sudah mempunyai waran tangkap telah ikut arahan suspek dengan memasukkan wang RM15,000 ke dalam akaun bank diberi.

"Mangsa hanya sedar ditipu setelah menceritakan hal ini kepada keluarga dan dimaklumkan panggilan itu sebenarnya adalah scammer," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini.

Iklan

Noorzainy berkata, selepas menyedari dirinya diperdaya sindiket berkenaan mangsa terus membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya.

Sementara itu dalam kes berasingan, seorang peniaga kerugian RM4,380 selepas terpedaya dengan sindiket pinjaman peribadi yang diiklankan melalui laman sosial semalam.

Mangsa yang berusia 32 tahun itu dikatakan melihat satu iklan pinjaman peribadi daripada Facebook sebelum meninggalkan nombor telefon di ruangan komen pada iklan tersebut.

Difahamkan mangsa telah dihubungi oleh seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai ejen syarikat pinjaman peribadi berkenaan dan menawarkan pelbagai jenis pinjaman peribadi cepat lulus.

Noorzainy berkata, pada mulanya mangsa tidak percaya dengan skim pinjaman tersebut namun setelah diyakinkan oleh suspek, mangsa telah bersetuju dan ingin membuat pinjaman peribadi sebanyak RM30,000.

Katanya, bagi memproses pinjaman berkenaan mangsa diminta oleh suspek untuk membuat pembayaran sebanyak RM4,380 ke dalam dua akaun bank yang diberikan.

"Mangsa hanya sedar ditipu selepas tidak mendapat wang pinjaman yang dijanjikan malah mangsa diminta untuk membuat pembayaran lagi ke akaun suspek.

"Mangsa sebelum ini telah dijanjikan tidak perlu membuat apa-apa pembayaran kepada syarikat pinjaman peribadi tersebut tetapi mangsa disuruh untuk membuat pelbagai bayaran untuk meluluskan pinjaman peribadi yang dimohon oleh mangsa," katanya.

Noorzainy berkata, walaupun kes seumpama ini banyak kali dilaporkan berlaku sebelum ini namun masih ada ramai yang terpedaya dengan penipuan di atas talian.

"Pihak polis menasihatkan agar sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan muslihat serta tipu helah sindiket.

"Jangan sesekali mudah percaya dengan sebarang tawaran pinjaman peribadi di laman sesawang Facebook, Instagram, WeChat dan sebagainya, sebaliknya hubungi pihak polis atau organisasi yang terlibat untuk sebarang pengesahan," katanya.

Kedua-dua kes berkenaan kini dalam siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.