ZAKAT merupakan salah satu tiang agama. Perintah dan suruhan menunaikan zakat sering dikaitkan dengan perintah menunaikan solat dalam al-Quran.
Ketika Saidina Abu Bakar as-Siddiq RA diangkat menjadi khalifah, beliau bersikap tegas terhadap orang-orang yang menolak kewajipan berzakat. Pemimpin itu bukan sahaja berjuang menegakkan agama Islam, bahkan juga menginfakkan harta kekayaannya ke jalan ALLAH SWT.
Selain membawa maksud tumbuh dan berkembang, zakat juga bermakna menyucikan harta. Dalam al-Quran dan hadis, secara tegas disebutkan, harta yang kita miliki hendaklah disucikan dengan membayar zakat.
Firman ALLAH SWT:"Ambillah zakat daripada sebahagian harta mereka, dengan zakat itu kamu membersihkan dan menyucikan mereka.” (Surah al-Taubah, ayat 103).
Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda:"Sesungguhnya ALLAH SWT mewajibkan zakat sebagai penyucian harta." (Riwayat al-Bukhari)Kedua-dua dalil naqli itu jelas menyebut bahawa menginfakkan harta ke jalan ALLAH merupakan suatu pengorbanan yang sangat tinggi.
Namun, sebagai manusia, memang menjadi fitrah mereka menyayangi harta. Apabila mereka harus mengeluarkan sesuatu yang disayangi, maka ia ialah sesuatu yang amat sukar.
Dengan berinfak sebenarnya seseorang itu pada hakikatnya telah membersihkan harta daripada kotoran. Harta yang digunakan dalam kehidupan sehariannya ialah harta yang suci dan bersih.
ALLAH SWT meyakinkan bahawa orang yang mengeluarkan hartanya untuk berzakat di jalan ALLAH, maka hartanya akan selalu dilimpahkan keberkatan oleh-Nya. Keberkatan harta akan memberikan impak positif kepada seseorang sehingga memperoleh barakah dalam kehidupannya.
Jika dalam kalangan kita masih ingat, pada saat baru menamatkan pengajian di universiti, ibu selalu berpesan:"Kau jangan lupa bayar zakat, tak berkat duit kau itu nanti." Ya, memang benar nasihat emak itu. Keberkatan duit membuatkan jiwa kita menjadi lebih tenang sekali gus melipatgandakan hasil pendapatan.
Dalam dunia yang penuh dengan pancaroba kini, kita mungkin terlibat dengan harta yang kita sendiri tidak pasti. Oleh yang demikan, berzakat merupakan salah satu platform untuk kita membersihkan harta dan tanda syukur kita kepada ALLAH SWT.
Harta yang tidak dikeluarkan zakat diibaratkan seperti rumah yang tidak pernah dicuci dan dibersihkan. Sudah tentu banyak debunya, kotoran, bau dan juga kuman yang akhirnya akan membawa virus dan penyakit kepada para penghuninya.
Sekiranya kita tidak mahu harta kita menyimpan 'kotoran', maka keluarkanlah zakatnya! Marilah kita sama-sama mentafsirkan berapakah jumlah zakat yang harus disalurkan kepada orang-orang yang berhak menerimanya.
Merdeka dengan zakat
Bersempena dengan bulan kemerdekaan, marilah kita menelusuri hubungan antara makna kemerdekaan dengan suatu kefarduan daripada ALLAH SWT buat hamba-Nya menerusi mekanisme ibadah zakat.Menurut Abu Abdillah Muhammad Abd Rahman Al-Bukhari dalam kitabnya, Mahasin Al-Islam:"Dengan ibadah zakat, manusia dianggap sebagai seorang yang merdeka dari aspek pemilikan harta dan mampu memurnikan hati mereka daripada cinta kepada harta.
"Apabila seseorang hamba itu menunaikan tanggungjawab hartanya dengan berzakat, jiwa serta nuraninya akan dimurnikan dengan cinta kepada ALLAH."
Firman ALLAH SWT:"ALLAH akan memberikan kamu pahala amal kamu dan Dia tidak meminta kepada kamu harta benda kamu (melainkan untuk memberikan kamu barang yang lebih baik daripadanya). (Tabiat kamu wahai manusia) jika Tuhan meminta kepada kamu harta benda kamu serta mendesak kamu memberikannya, nescaya kamu akan berlaku bakhil kedekut dan kebakhilan itu akan melahirkan kemarahan dan kebencian kamu." (Surah Muhammad, ayat 36-37)
Jelaslah bahawa melalui ibadah zakat, jiwa seseorang itu akan merdeka daripada belenggu kebakhilan, cinta harta dan gila dunia.
Sementara itu, golongan yang menerima zakat pula khasnya asnaf fakir dan miskin, mereka yang dibebani hutang serta kesulitan hidup akan dapat memerdekakan diri daripada belenggu kesusahan serta kemiskinan hidup.
Orang yang kaya dan berharta sebenarnya masih belum betul-betul ‘bebas’ dan ‘merdeka’ selagi mereka tidak mempunyai kerelaan hati membelanjakan harta ke jalan yang diredai ALLAH SWT. Inilah kebebasan yang hakiki. Meletakkan urusan harta pada kehendak Ilahi.
Oleh yang demikian, marilah kita sama-sama mendidik hati dan mengajak diri agar berterusan membuat kebaikan menginfakkan harta yang kita peroleh ke jalan ALLAH SWT.
Kita dituntut menginfakkan harta yang paling kita sayangi dan menghindarkan diri daripada sifat suka mengungkit dan menyesal. Dengan cara itu, kita bakal mendapat penghormatan yang tinggi daripada ALLAH SWT dan malaikat sentiasa mendoakan kebaikan untuk kita.
Dalam al-Quran, ALLAH SWT menyebut perkataan infak sebanyak 49 kali. Terdapat banyak ayat al-Quran yang menyentuh mengenai budaya berinfak yang mana ia mempunyai kaitan yang sangat erat dengan takwa. Antaranya ayat 215 dalam Surah al-Baqarah.
Saad Bin Abi Waqas RA menceritakan bahawa Rasulullah SAW bersabda:"Nafkah (infak) yang kamu berikan semata-mata kerana ALLAH, nescaya diberi pahala oleh ALLAH; bahkan apa yang kamu berikan untuk makanan isteri kamu (perbelanjaan rumah tangga) juga akan diberi pahala oleh ALLAH." (Riwayat al-Bukhari)
Kesimpulannya, tujuan zakat, infak dan sedekah adalah untuk meningkatkan taraf hidup sekali gus mengangkat martabat seseorang Muslim itu daripada kemiskinan, memerdekakan diri dan harta mereka atas kefarduan yang dilaksanakan.
Ini kerana terkandung banyak hikmah menerusi ibadah itu sama ada untuk orang yang mengeluarkan zakat mahupun bagi orang yang menerimanya.
Ingatlah, kemerdekaan bukan hanya bermaksud bebas daripada penjajah, tetapi kemerdekaan juga bermakna sesebuah negara itu bebas daripada belenggu kemiskinan, pertumbuhan ekonomi yang stabil dari semasa ke semasa.
Zakat merupakan sebuah model sempurna yang harus ada pada negara yang merdeka. Ini kerana penerapan zakat dalam kemajuan negara mampu memacu pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan sosial agar seluruh rakyatnya merasakan kemerdekaan baik dari segi zahir ataupun batin.
Info
Kaedah melunaskan zakat:
- Kaunter ibu pejabat/Cawangan Zakat Melaka
- Kaunter bergerak
- Borang potongan gaji
- Kad debit/kad kredit
- Potongan gaji online
- Ejen pos/Ejen Bank/Ejen MATA
- Pegawai syarak
- Talian Zakat: 1 300 88 0233
- Laman web: www.izakat.com/
***Sharifah Huda Syed Yahya merupakan Kempen & Publisiti, Zakat Melaka.