BUTTERWORTH - Polis menafikan penglibatan anggotanya dalam melindungi dan bersekongkol dengan aktiviti penjualan dadah secara terbuka di kawasan perumahan Kampung Ujung Batu di sini.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, perkara itu tidak benar sama sekali berikutan sebelum ini banyak operasi dan tangkapan yang dijalankan di kawasan terbabit, malah ia dilakukan secara berterusan.
Menurutnya, statistik hasil operasi bermula Januari hingga Julai lalu merekodkan sebanyak 116 tangkapan dilakukan yang mana secara keseluruhan sebanyak 83 kes dibuka atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
"Terdapat juga tangkapan yang diserahkan untuk tindakan pihak Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) berserta satu tangkapan orang yang dikehendaki.
"Rampasan keseluruhan bagi operasi yang dilakukan dalam tempoh masa yang sama adalah syabu sebanyak 35.08 gram (g) bernilai RM700 dan heroin sebanyak 304.56g bernilai RM5,800," katanya.
Noorzainy berkata, bagi operasi yang dilakukan bermula 1 hingga 7 Ogos 2019 pula, sebanyak tiga tangkapan dibuat bersangkut Seksyen 12(2) ADB 1952 dan satu tangkapan bersangkut Seksyen 15 (1)(a) ADB 1952 dengan rampasan syabu sebanyak 0.2g serta heroin 0.7g.
Sebelum ini, sebuah portal berita mendedahkan aktiviti penjualan dadah secara terbuka mencetuskan kebimbangan penduduk di Ujung Batu di sini.
Lapor portal itu, lebih membimbangkan, kebanyakan pelanggan merupakan golongan remaja selain mendakwa anggota polis di daerah SPU terlibat melindungi dan bersekongkol dengan aktiviti penjualan dadah tersebut.
Noorzainy berkata, orang awam yang mempunyai maklumat mengenai aktiviti pengedaran mahupun penyalahgunaan dadah diminta untuk menyalurkan maklumat ke talian Hotline 012-2087222 yang beroperasi 24 jam.
Katanya, maklumat boleh dihantar berserta gambar, lokasi dan kegiatan dadah melalui aplikasi WhatsApp untuk tindakan susulan.
"Pemberi maklumat tidak perlu khuatir terhadap keselamatan diri kerana semua butir maklumat yang disalurkan akan dirahsiakan," katanya.
Sementara itu, dalam operasi yang dilakukan pada Rabu, Noorzainy berkata, pihaknya menahan 11 individu yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah di kawasan berkenaan.
Dalam serbuan yang dilakukan bermula jam 8 malam dan berakhir 6 pagi tadi, pihaknya turut merampas 1.9g heroin dan 0.2g syabu.
"Tangkapan dan operasi yang dilaksanakan itu bukan dilakukan setelah isu berkenaan ditularkan, sebaliknya ia telah dilaksanakan bermula sejak Januari lagi. Operasi ini juga diadakan secara berterusan dan mengambil kira daripada hasil maklumat orang awam.
"Kesemua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah SPU untuk siasatan lanjut," katanya.