Islam merupakan agama yang disampaikan oleh Rasulullah SAW. Baginda menunjukkan contoh kepada umatnya bagaimana pelaksanaan ibadah-ibadah dalam Islam.
Setiap panduan yang menjadi ikutan dan amalan itu kemudiannya akan diberi ganjaran oleh ALLAH SWT. Inilah antara hikmah secara umum bagi ibadah korban dan semua ibadah yang telah disyariatkan ke atas umat Islam pada hari ini iaitu dengan mencontohi amalan Rasulullah SAW dengan niat mengikuti sunah baginda.
Dalam Riwayat Tirmizi menyatakan:"Tidak ada amalan yang dilakukan oleh anak Adam pada hari al-Nahr (Aidiladha) yang lebih dicintai oleh ALLAH selain daripada menumpahkan darah (binatang korban). Sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat dengan tanduknya, bulunya dan kukunya dan sesungguhnya darah tersebut akan mendapat reda ALLAH SWT sebelum ia jatuh ke bumi. Maka, bersihkanlah jiwa kamu (dengan ibadah berkorban)."
Itulah kemuncak kepada ibadah korban yang dilaksanakan oleh umat Islam iaitu untuk mencapai ketakwaan dan keredaan ALLAH SWT sebagaimana dalam Surah al-Hajj, ayat 37 yang bermaksud:"Daging dan darah binatang korban itu tidak sekali-kali akan sampai kepada ALLAH, tetapi yang sampai kepada-Nya ialah amal yang ikhlas berdasarkan takwa dari kamu."
Ibadah itu juga merupakan syiar yang tidak wajar disembunyikan kerana ia merupakan amalan yang mengagungkan ALLAH SWT sebagaimana contoh yang ditunjukkan oleh baginda Rasulullah SAW ketika melaksanakan ibadah korban semasa menyempurnakan ibadah haji pada tahun ke-10 Hijrah.
Hadis diriwayatkan oleh Jabir RA yang bermaksud:"Badanah (haiwan sembelihan dari jenis lembu atau unta) yang disembelih oleh Rasulullah SAW berjumlah 100 ekor, baginda menyembelih 63 ekor daripadanya dan Ali Bin Abi Thalib menyembelih selebihnya. Lalu Rasulullah SAW memerintahkan agar setiap ekor badanah (haiwan sembelihan daripada jenis lembu atau unta) dibahagi kepada tujuh bahagian." (Riwayat Ahmad)
Hukum
Apakah hukum melakukan ibadah korban dan apakah amalan sunat bagi mereka yang berniat untuk melakukan korban?
Hukum ibadah korban ialah sunat muakkad iaitu sunat yang amat dituntut untuk dilaksanakan bagi mereka yang beragama Islam, baligh, berakal dan berkemampuan.
Dari sudut lain, korban juga merupakan ibadah yang dikategorikan sebagai sunat kifayah bagi sesebuah keluarga iaitu apabila salah seorang ahli keluarga telah melaksanakannya, maka ia sudah memadai untuk keluarga tersebut.
Bagi mereka yang berniat untuk melaksanakan ibadah korban, disunatkan agar tidak memotong kuku, rambut dan bulu badannya sebagaimana diriwayatkan oleh Ummu Salamah RA, beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda:"Apabila masuk 10 (hari awal Zulhijah), dan salah seorang daripada kalian mahu melakukan korban. Janganlah dia memotong rambutnya dan bulu badannya." (Riwayat Muslim)
Menurut pandangan Mazhab Syafie, makruh bagi seseorang yang akan melaksanakan ibadah korban untuk memotong, mencabut, mencukur atau melakukan apa-apa perkara yang boleh menghilangkan segala jenis rambut dan bulu di badan.
Adapun hikmah daripada larangan hanya ALLAH SWT yang mengetahuinya, namun sebagai seorang Muslim yang beriman dengan perintah ALLAH, wajib diyakini bahawa dalam syariat Islam, ada amalan yang dipanggil ta’abbudi yang tidak diketahui alasan dan sebab perintah tersebut melainkan ALLAH SWT.
Apakah ibadah lain yang disunatkan di dalam bulan Zulhijah selain melaksanakan ibadah korban?
Firman ALLAH SWT di dalam Surah al-Fajr, ayat ke-2 yang bermaksud:"Dan malam yang sepuluh" (yang mempunyai kelebihan di sisi ALLAH)
Imam Ibnu Kathir menyatakan bahawa ayat tersebut merujuk kepada kelebihan dan keistimewaan yang ALLAH sediakan pada 10 hari terawal di bulan Zulhijah.
Sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas RA, Nabi SAW bersabda yang bermaksud:"Tiada amalan yang dilakukan pada hari lain yang lebih afdal daripada amalan pada 10 hari ini. Para sahabat bertanya: Tidak juga jihad? Baginda menjawab: Tidak juga jihad, kecuali jika seseorang keluar dengan nyawa dan hartanya dan tidak kembali lagi." (Riwayat Bukhari)
Dalam sebuah hadis yang diriwayat daripada Aisyah RA berkata yang bermaksud, sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda:"Hari yang paling ramai ALLAH bebaskan hamba-hambanya daripada neraka ialah hari Arafah." (Riwayat Muslim)
Berdasarkan maksud ayat al-Quran dan hadis di atas, ia memberi gambaran yang sangat jelas bagaimana ALLAH SWT memberikan keistimewaan dan ganjaran yang sangat besar kepada hambanya yang inginkan kebaikan pada 10 hari terawal di bulan Zulhijah ini.
Memperbanyakkan amalan soleh yang merangkumi semua jenis amalan seperti memperbanyakkan bacaan al-Quran, memperbanyakkan solat-solat sunat, menghidupkan malam dengan qiamullail dan zikir serta memperbanyakkan amalan-amalan sunat yang lain.
Di samping amalan-amalan sunat yang disebutkan, umat Islam juga disunatkan untuk berpuasa pada 9 Zulhijah yang dikenali sebagai hari Arafah, berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Qatadah RA beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:"Puasa pada hari Arafah (9 Zulhijah), aku berharap agar ALLAH menjadikannya penghapus dosa setahun sebelumnya dan dosa setahun selepasnya." (Riwayat Muslim)